“Keluarga mentua rupanya pengotor, sanggup letak pasir kucing dekat dapur masak”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita berada di dalam dilema selepas mengetahui sikap sebenar keluarga mentua selepas beberapa bulan mendirikan rumah tangga.

Hanya terbongkar selepas mengunjungi rumah mentua, wanita berkenaan mengakui terperanjat apabila melihat baju-baju yang telah dipakai dibiarkan di celah tangga.

Tidak menyangka keluarga mentua rupanya pengotor, wanita itu sukar mempercayai matanya sendiri ketika melihat bekas najis kucing diletakkan di tepi dapur memasak.

Bersepah semula setiap kali dikemas, berikut perkongsian wanita dikenali sebagai Shima yang buntu mencari penyelesaian masalah kebersihan keluarga mentuanya.

“Saya seorang wanita sederhana yang berasal dari kampung dan berkahwin dengan pemuda dari bandar. Sebelum berkahwin, saya pernah ke rumah bakal suami untuk berkenalan dengan ahli keluarganya. Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan tidak lama kemudian kami berkahwin.

“Ketika itu, saya lihat kediaman mentua bersih dan kemas. Namun selepas beberapa bulan berkahwin, lama-kelamaan saya perasan keadaan rumah itu bertukar kepada bersepah dan tidak berkemas. Sebagai contoh baju kotor dibiarkan di celah tangga, alatan memasak ditinggalkan lama tidak berbasuh di dalam singki dan tandas pula dibiarkan berlumut dan kuning.

“Yang paling saya terkejut, ulat-ulat bersepah dekat kawasan tong sampah kerana mereka tidak membuangnya selama beberapa hari. Saya bertanya kepada suami, kenapa jadi sampai macam ini. Suami hanya berdiam kerana tiada jawapan. Untuk pengetahuan, saya tinggal berasingan dengan keluarga mentua.

“Tetapi, rumah saya sangat dekat dengan mereka. Jadi setiap seminggu sekali, saya dan suami akan datang melawat mentua. Pada awalnya, saya ambil inisiatif sendiri dengan menolong mengemas ruang tamu, dapur dan cuci tandas. Malangnya, kediaman itu kembali bersepah di waktu petang sekiranya saya mengemas di pagi hari.

“Lama-kelamaan, saya jadi tertekan dan bengang dengan ahli keluarga suami. Saya bukanlah terlalu pengemas dan pembersih. Tetapi cukuplah bila nampak sedap mata memandang. Ini atas meja bersepah dengan botol air, pinggan kotor, majalah dan plastik makanan yang telah kosong. 

“Saya kemaskan dan susun di sebelah pagi. Tetapi petang mesti berselerak semula. Kadang-kadang, saya tolong lipat baju adik-beradik suami. Apabila datang balik dua atau tiga hari kemudian, baju itu masih lagi di tempat yang sama. Selepas itu, anak mentua iaitu adik-beradik suami ada membela kucing. 

“Tetapi, dibiarkan najis kucing sampai kering dan penuh dalam bekas pasir. Boleh bayangkan bau busuk macam mana. Ada dalam 15 ekor kucing dibela di luar rumah (bersangkar) dan tiga ekor lagi dibiarkan dalam rumah. Paling saya tak tahan alam rumah mentua, bekas najis kucing diletakkan di dapur sebelah tempat memasak.

“Bayangkan kita nak memasak dekat dapur, tetapi di sebelah ada bekas pasir kucing yang penuh dengan najis. Seksanya hanya Allah sahaja yang tahu. Tiada siapa pula yang tegur. Saya jadi buntu fikir, orang dalam rumah ini tak boleh bau ke najis kucing itu? Awal-awal, saya tak tahan jadi tolong juga buang najis kucing.

Tetapi lama-kelamaan saya tengok keluarga mentua macam buat tak kisah. Jadi saya ambil keputusan untuk biarkan sahaja. Jika masuk ke dalam bilik ahli keluarga suami, saya hanya akan istighfar dalam hati. Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, perkara ini masih belum selesai.

“Kini saya sudah mempunyai dua orang cahaya mata. Saya selalu mengajar anak-anak untuk menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal. Pernah anak sulung saya bertanya, ‘kenapa rumah nenek bersepah dan busuk? Kakak tak selesa mama’. Saya hanya diam dan memberikan senyuman nipis kepadanya.

“Jawapan apa yang boleh diberikan kerana perkara yang saya ajar, tak sama dengan apa yang dia lihat di rumah neneknya? Saya pernah tegur suami tentang keadaan di rumah keluarga mentua. Tetapi jawapan suami tetap sama iaitu, ‘mereka sudah terbiasa hidup sebegitu’.

“Tetapi apa yang menghairankan, apabila keluar rumah masing-masing nampak sangat bergaya dan kemas. Langsung tidak mencerminkan diri mereka di rumah. Setiap kali suami ajak datang ke rumah mentua, saya jadi dilema dan tertekan. Saya tertekan sebab kena hadap bau dan suasana rumah yang kotor dan bersepah.

“Belum cerita lagi badan anak yang gatal-gatal setiap kali balik dari sana. Keluarga mentua sangat baik terhadap saya dan anak-anak. Saya cuma buntu dan tertekan dengan masalah kebersihan dan perangai buat tak tahu mereka. Apa yang patut saya buat?.” Soal wanita berkenaan di laman luahan atas talian.

Baca juga: Ramai tak senang tengok Puteri Sarah menangis di bahu Andi Arsyil, nasihat halalkan hubungan dengan segera