“Perubahan iklim bukan lagi isu masa depan” – Mat Sabu seru rakyat lindungi alam sekitar

Oleh MALAYSIADATELINE

Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru rakyat Malaysia memainkan peranan aktif dalam menjaga alam sekitar sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2026 yang diraikan hari ini dengan tema “Tindakan Global untuk Iklim” atau “Climate Action”.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata perubahan iklim bukan lagi isu masa depan, sebaliknya cabaran nyata yang sedang dihadapi dunia ketika ini termasuk Malaysia.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita semua mempunyai peranan dalam memelihara alam sekitar melalui tindakan kecil yang memberi impak besar,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Menurut beliau, amalan seperti mengurangkan pembaziran, menjaga kebersihan, menanam pokok dan menggunakan sumber secara berhemah mampu membantu mewujudkan persekitaran yang lebih lestari.

Mohamad Sabu turut menegaskan aspek kelestarian alam sekitar amat penting khususnya dalam sektor pertanian bagi menjamin keselamatan makanan negara untuk generasi akan datang.

“Dalam sektor pertanian, kelestarian alam sekitar amat penting bagi menjamin keselamatan makanan negara untuk generasi akan datang,” katanya lagi.

Beliau dalam masa sama mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama memupuk kesedaran dan mengambil tindakan demi memastikan bumi kekal hijau, sejahtera dan selamat untuk diwarisi generasi akan datang.

“Satu Dunia. Satu Tindakan. Satu Harapan,” katanya.

Baca juga: Gelombang kedua krisis tenaga: Ini strategi Kerajaan Madani hadapi cabaran geopolitik