Tahukah anda, Malaysia telah berjaya menarik pelaburan digital yang diluluskan berjumlah RM250 bilion hanya dalam tempoh dua tahun sepanjang pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pelaburan melalui projek-projek sektor digital termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan pusat data ini dijangka dapat mewujudkan kira-kira 80,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Khabar gembira itu dikongsikan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang memaklumkan bahawa pencapaian tersebut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara.
Pencapaian itu juga diraih melalui hala tuju Malaysia dalam ekonomi digital yang merupakan sektor pertumbuhan tinggi tersebut sekali gus meraih kepercayaan untuk terus menjadi hab pelaburan.
Akmal Nasrullah juga menjelaskan langkah-langkah yang perlu diambil Malaysia hasil daripada aliran tunai ini selain strategi untuk mengekalkan prestasi negara sebagai destinasi utama pelaburan digital.
Perkukuh kemahiran bakat tempatan
Menurut Akmal, mementum kemasukan pelaburan perlu dimanfaatkan dengan memastikan penyaluran dana swasta turut menyumbang dalam memperkukuh daya saing negara.
Langkah ini termasuklah dengan memastikan kemahiran bakat tempatan dapat dipertingkatkan secara berterusan selain memperluaskan akses kepada teknologi baharu hasil daripada pelaburan tersebut.
Hubungkan sektor tenaga, pendigitalan dan pertumbuhan ekonomi
Malaysia perlu mula mengambil pendekatan yang lebih bersepadu melangkaui pembangunan berasaskan sektor tradisional dengan menghubungkan sektor tenaga, pendigitalan dan pertumbuhan ekonomi.
Tindakan itu penting bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi utama pelaburan dengan mengurangkan risika dan meningkatkan daya tarikan kepada pelabur asing.
Mengikut konsep Trilema Tenaga, Malaysia juga perlu terus menjaga keseimbangan antara tiga elemen utama iaitu keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian untuk melaksanakan peralihan tenaga secara berperingkat.
Pertingkat daya tahan ekonomi
Akmal memaklumkan bahawa ketahanan ekonomi juga perlu dikekalkan selain mengutamakan konsep trilema tenaga untuk memastikan pertumbuhan negara mencapai sasaran.
Malaysia sebelum ini berjaya membuktikan daya tahan ekonomi negara apabila berjaya kekal stabil dalam mendepani krisis tenaga global yang berlaku susulan konflik di Asia Barat.
Sehubungan dengan itu, Malaysia perlu mengekalkan daya saing agar gangguan rantaian bekalan dan penutupan perdagangan kesan daripada konflik ini tidak memberikan impak besar kepada ekonomi negara.
Perkara ini dijelaskan Akmal dalam sesi dialog menteri bertajuk ‘Memacu Fasa Pertumbuhan Baharu Malaysia: Tenaga, Ekonomi dan Digital yang Selaras’ sempena Persidangan Peralihan Tenaga (ETCon26) di ibu negara, semalam.
Baca juga: “Perubahan iklim bukan lagi isu masa depan” – Mat Sabu seru rakyat lindungi alam sekitar