Fenomena banjir telah menyebabkan laluan di Kampung Paya Garok, Jalan Jerantut-Felda Padang Piol dinaiki air sejauh kira-kira 100 meter.
Akibat kejadian ini, jasad seorang wanita dilaporkan terpaksa dipindahkan sebanyak tiga kali daripada van jenazah ke trak tentera untuk menyeberangi kawasan banjir.
Dalam kejadian yang berlaku pada 12 tengah hari itu, sebuah van jenazah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) dari Temerloh tidak dapat meneruskan perjalanan.
Hal ini kerana, laluan di kawasan tersebut tidak boleh dilalui kenderaan ringan ekoran ditenggelami air banjir sedalam kira-kira 0.5 meter dan sejauh kira-kira 100 meter.
Perkara berkenaan disahkan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Tawar, Haris Salleh Hamzah yang turut serta mengurus jenazah Zaiton Mohamad.
Menurut Haris, van jenazah yang membawa jasad warga emas berusia 66 tahun itu tidak dapat melalui kawasan digenangi air sebaik sampai di Kampung Paya Garok.
Dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan, jasad akhirnya dibawa menyeberangi air bah dengan trak tentera sebelum dipindahkan ke van jenazah, lapor Harian Metro.
“Jenazah yang dibawa menggunakan van jenazah Hospital Hoshas dipindahkan ke trak tentera untuk menyeberangi kawasan digenangi air, kemudian dipindahkan sekali lagi ke van jenazah dari Felda Padang Piol.
“Alhamdulillah pengurusan jenazah selamat dilakukan dengan kerjasama tentera, bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pejabat penghulu dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya memetik laporan Harian Metro.
Difahamkan, arwah Zaiton Mohamad menghembuskan nafas terakhirnya di Hoshas pada pukul 11.35 malam, Rabu lalu selepas bertarung nyawa dengan penyakit radang hati.
Jenazah kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Padang Piol, pada Khamis (28 Disember) iaitu hari yang sama jasad dibawa menyeberangi air banjir.
Baca juga: Tiada sambutan ambang tahun baru, kerajaan Perseketuan hormati rakyat Palestin, mangsa banjir