Isteri baru pernah asuh anak sepupu sebelum kenal di media sosial, Halim tak kisah jarak umur lebih 40 tahun

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sahaja tidak pernah mendengar lagu ‘Anak Tupai’, namun nama dan rupanya jarang dikenali bagi mereka yang berada di luar negeri pantai timur.

Tambahan genre dikir barat ini jarang mendapat perhatian anak muda yang lebih kepada balada dan lagu rancak.

Terbaru penyanyi dan legenda dikir barat Kelantan, Halim Yazid mengakui dirinya mempunyai isteri kedua dan sudah berkahwin dua tahun lalu.

Memilih wanita yang muda 43 tahun daripadanya, Halim memaklumkan isteri keduanya itu adalah peminat dikir barat.

Kenal melalui media sosial

Menurut Kosmo! Online, Halim dan Farhana berkenalan melalui media sosial sebelum berkahwin pada November 2022.

“Saya dan Farhana berkahwin pada 8 November 2022 dan baru sahaja mempunyai seorang cahaya mata yang kini berusia enam bulan.

“Perkenalan dengan isteri kedua sangat unik kerana sebelum ini pernah mengasuh anak sepupu saya sebelum kami berkenalan dalam media sosial.

“Isteri kedua berasal dari Kelantan dan merupakan peminat saya. Meskipun dia masih muda tetapi dia tahu lagu-lagu dikir barat yang saya nyanyikan,” katanya seperti dipetik Kosmo.

Hubungan antara isteri, tak baik dan tak gaduh

Apabila sudah dimadukan pastinya ada rasa tidak senang antara dua isteri namun Halim enggan mengulas hal tersebut sebaliknya bersyukur isteri pertama menerima poligami.

“Isteri pertama dan kedua ini saya boleh katakan tidak berbaik dan juga tidak bergaduh. Mereka juga jarang berjumpa walaupun rumah kedua-duanya hanya tiga minit,” katanya.

Perkahwinan bersama Farhana diserikan lagi dengan seorang cahaya mata perempuan manakala bersama isteri pertama, Halim mempunyai lapan orang anak.

Baca juga: Pengemis kantoi pandu kereta Proton X70 Premium, berjaya raih RM500 dalam masa 5 jam