Lelaki rugi RM3,800, sedar jambangan duit tak cukup lepas 2 tahun – “Isteri baru kira!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Hasrat seorang suami untuk membuat kejutan istimewa kepada isteri tercinta gagal apabila jambangan bunga duit berjumlah RM8,000 ditempahnya tidak kunjung tiba.

Lebih mengecewakan, lelaki itu turut mengalami kerugian sebanyak RM3,800 setelah menyedari jumlah duit di ‘bunga’ tempahannya dua tahun lalu juga tidak mencukupi.

Penipuan tersebut hanya terbongkar setelah penggubah bunga itu enggan membuat sebarang pembayaran balik (refund) untuk tempahan jambangan kedua (RM8,000).

Difahamkan, pasangan suami isteri tersebut mulanya sudah merasa lega kerana ahli keluarga kepada penjual bunga itu sudi mengembalikan wang bagi tempahan kedua.

Sang isteri bagaimanapun tiba-tiba merasa tidak sedap hati dan memutuskan untuk membuka jambangan bunga pertama ditempah suaminya dari penjual yang sama.

Alangkah terkejutnya wanita itu apabila mendapati duit yang digubah berjumlah RM1,200 sahaja, sedangkan suaminya membuat pembayaran RM 5,350 pada dua tahun lalu, lapor China Press.

Mereka sepatutnya menerima jambangan bunga berupa wang tunai RM5,000 kerana baki RM350 adalah bayaran buat penjual iaitu upah gubahan dan kos penghantaran.

“Pada Jun 2023, suami saya membeli jambangan bunga duit bernilai RM8,000. Saya baru tahu rupanya dia penipu selepas tempahan yang dibuat tidak pernah dihantar.

“Ketika itu, saya membuat keputusan untuk tidak memperbesarkan masalah kerana ahli keluarga penjual berkenaan sudi membantunya mengembalikan semula wang.

“Baru-baru ini, saya tergerak hati untuk membuka jambangan bunga pertama (dibeli pada tahun 2022) dan mendapati duit hanya ada RM1,200. Rugi RM3,800!,” katanya.

Berkongsi kejadian tersebut di laman Facebook, wanita berkenaan turut memuat naik tangkap layar perbualan bersama penjual dan gambar wang renyuk sebagai rujukan.

Meskipun wang RM3,800 itu tidak pernah dipulangkan, sang isteri berharap agar orang ramai mengambil iktibar atas perkongsiannya dan lebih berhati-hati dalam membuat tempahan atas talian.

Baca juga: Cik B belanja Datuk Seri Vida penerbangan kelas pertama, ada yang teka satu tiket cecah RM40,000!