Sehingga kini masih ada mereka yang dilahirkan di Malaysia tapi tidak mendapat status warganegara kerana ibu bapa.
Tapi ada juga kes dimana ibu yang terpaksa melahirkan anak di luar negara disebabkan suami hingga menyebabkan cahaya mata mereka tidak mendapat status tersebut.
Isu tersebut berlaku kepada penyanyi popular era 1990-an, Azura Aziz yang melahirkan ketiga anaknya di negara asal suami, Mesir.
Disebabkan isu tersebut maka sukar buat anaknya mendapatkan pelajaran di universiti awam dan manfaat sebagai rakyat Malaysia lapor Harian Metro.
“Anak-anak kami sekarang boleh duduk di Malaysia tanpa gangguan atau rasa diskriminasi, boleh melanjutkan pelajaran dan dapat manfaat penuh sebagai rakyat Malaysia.
“Malah kami boleh tinggal di Malaysia sebagai satu keluarga yang bersatu padu buat selama-lamanya,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Terpaksa ambil pas pelajar untuk anak bersekolah
Azura dan pasangan Cheb Ali Masrawi akhirnya membuat keputusan untuk menetap terus di Malaysia pada tahun 2017 bersama tiga anak yang masih berstatus bukan warganegara.
“Bermula dari situ, kami terpaksa mendapatkan pas pelajar untuk setiap anak bagi membolehkan mereka tinggal bersama kami sebagai satu keluarga.
“Kami melalui proses yang sangat sukar setiap tahun untuk memperbaharui visa mereka dengan usaha dan kos yang sangat tinggi.
“Dalam masa sama, kami sentiasa menyemak status permohonan kewarganegaraan anak-anak yang kami mohon pada 2018 dan diberitahu masih dalam proses di Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.
Anak terlepas peluang sambung belajar
Apabila anak sulungnya Seifulislam Ali tamat persekolahan Sijil Peperiksaan Malaysia pada 2020, mereka memohon Pas Residen, namun mendapat jawapan yang mengecewakan.
“Selepas proses selama lapan bulan, permohonan ini tidak diluluskan tanpa sebab, menyebabkan anak kami kehilangan peluang melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi sampai sekarang.
“Lebih memeningkan bila kami tahu pada hujung tahun ini sekiranya dia tidak dapat kewarganegaraan Malaysia, tidak ada peluang untuk dia langsung lepas ini, kerana umurnya akan melebihi 21 tahun.
“Jadi kami berusaha dan amat berharap agar proses permohonan kewarganegaraan anak-anak kami dapat dipercepatkan, memandangkan ia akan dapat menyelesaikan segala masalah,” katanya.
Azura turut meluahkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia apabila tiga anak mereka akhirnya diberikan status kewarganegaraan pada 22 Januari lalu.
Baca juga: “Semoga saya peroleh Hidayah”, rupanya ini faktor Kenji Sawahi dalami Islam 7 tahun lalu