Bapa Ismail Izzani didakwa ‘curi’ 4 pita filem Sarimah Ahmad, ini respon Datin Suliza Salam

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi terkenal era 80-an, Datin Suliza Salam yakin bahawa suaminya iaitu Datuk Zainal Nazeri Zainuddin bukanlah individu yang tergamak menganiayai orang lain.

Perkara itu diakui Suliza ketika diminta mengulas dakwaan yang mengaitkan Zainal dengan kecurian empat pita filem asal terbitan primadona, Datuk Sarimah Ahmad.

Malah menurut Suliza, suaminya yang juga merupakan seorang penerbit itu mempunyai hubungan rapat dengan seniwati veteran kebanggaan negara itu, lapor Oh Bulan.

Wanita berusia 59 tahun itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan timbul salah faham sehingga Zainal dituduh terbabit dalam penganiayaan terhadap Sarimah.

“Saya rasa bukan dia (suami). Sebab dia bukan jenis yang suka menganiaya orang. Dia dan Datuk Sarimah juga sangat rapat seperti seorang adik dan seorang abang.

“Cuma, mungkin terdapat sedikit salah faham yang berlaku dan saya yakin mereka akan selesaikan perkara tersebut dengan cara baik. Macam saya kata, suami tak (mungkin) buat begitu.

“Perkara ini pun sudah berlaku berpuluh tahun dahulu. Jadi, sekali lagi nak cakap bahawa saya benar-benar tak tahu mengenai isu itu,” kata Suliza memetik laporan Oh Bulan.

Suliza juga enggan mengulas lebih lanjut mengenainya memandangkan insiden kecurian tersebut berlaku sebelum pelantun lagu Untuk Sekali Lagi itu mengenali suaminya.

“Untuk isu itu, saya tidak mahu memberikan sebarang komen sebab ianya berlaku sebelum saya hadir dalam kehidupan suami lagi. Saya juga tidak dihubungi mana-mana pihak mengenai isu tersebut.

“Sebabnya, saya sendiri pun tidak tahu apa-apa. Cuma biasalah, saya pun memang akan terkait sebab saya isteri dia.” Ulas ibu kepada penyanyi popular, Ismail Izzani itu.

Terdahulu, Datuk Sarimah meluahkan kekecewaan apabila karyanya bersama arwah suami, Yusof Majid iaitu empat pita asal filem terbitan produksi mereka telah dicuri.

Individu yang dikenali ramai itu dikatakan mencuri pita filem terbitan Sarimah Film Productions iaitu Detik 12 Malam, Jejak Bertapak, Dia Ibuku dan Kabus Tengahari.

Sarimah mendakwa individu terbabit bersama seorang lagi rakan memintanya untuk menandatangi satu dokumen sewaktu majlis pengebumian suaminya sebelum menghilangkan diri.

Baca juga: Banyak kontroversi melanda, Enot kecewa tiada tawaran berlakon masuk