Sehari di Malaysia hampir mati kelaparan, pelancong China tak lalu tengok makanan tempatan

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian seorang wanita warganegara China yang melancong di Malaysia telah menimbulkan satu perbincangan hangat di media sosial, baru-baru ini.

Mana tidaknya, pelancong berkenaan mendakwa makanan yang dihidang di sebuah restoran di Semporna, Sabah sangatlah hambar dan langsung tidak menyelerakan.

Situasi tersebut dikatakan telah menyebabkan wanita itu ‘hampir mati kelaparan’ di jalanan kerana tidak menemui makanan tempatan yang sesuai dengan citarasanya.

Pelancong itu turut meluahkan kekesalannya berikutan tidak dapat berkomunikasi di dalam bahasa Mandarin kerana kurangnya masyarakat kaum Cina di Semporna.

Merasa tertipu, wanita tersebut semakin tertekan apabila masyarakat Cina tempatan yang berjaya ditemui pula langsung tidak boleh bercakap dalam bahasa Mandarin.

Perkongsian yang dibuat dalam bentuk video itu dimuat naik di aplikasi Douyin iaitu TikTok versi China sebelum disebarkan di platform X bersama dengan sari kata.

“Hari pertama di Malaysia, hampir mati kelaparan di tepi jalan. Lauk yang terhidang betul-betul tak boleh dimakan. Influencer mana beritahu aku Orang Cina penuh di jalanan.

“Katanya tak perlu berbahasa Inggeris pun boleh bergerak bebas. Dari turun kapal terbang sampai hari ini jumpa tiga ke empat sahaja orang Cina. Selebihnya tak boleh berbahasa Cina. 

“Makanan pula nampak cair semacam, tak lalulah nak makan. Sos macam apa entah. Tengok sahaja pun sudah buat saya hilang selera,” luah pelancong berkenaan.

Mengulas lanjut, pelancong itu berkata usahanya mencari hidangan enak di restoran makanan laut juga gagal kerana pekerja premis itu tidak boleh berbahasa Mandarin.

Percubaan menggunakan aplikasi alih bahasa juga tidak berjaya kerana menurutnya, situasi itu bagai ‘ayam bercakap dengan itik’ sehingga membuatkannya putus asa.

Tular di media sosial, perkongsian wanita berkenaan mengundang kritikan daripada masyarakat tempatan kerana tidak pandai menyesuaikan dirinya di negara orang.

Ramai juga individu berpendapat bahawa pelancong itu tidak seharusnya berkunjung ke luar negara jika berkeras enggan belajar sedikit perkataan dari bahasa umum contohnya bahasa Inggeris.

Baca juga: Tips simpan udang segar sebiji macam orang niaga buat, kena lumur bahan ini masa bekukan makanan laut