Seorang lelaki berusia 22 tahun menjadi perhatian ramai selepas dia berjaya memenangi hadiah cabutan bertuah yang berupa sebuah Nissan GT-R R35.
Lelaki berasal dari Kelantan itu memenangi hadiah tersebut ketika majlis Jom Santai Food Festival di Terengganu bersama jenama pakaian tempatan, Choii.
Untuk rekod, pengasas jenama baju Choii ketika ini sedang mengadakan jelajah bersama pelawak Achey Kintang Kintung dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik buat para peminatnya.
Lelaki yang memenangi pacuan empat roda itu bagaimanapun memilih untuk menukar hadiah yang dimenanginya dengan wang tunai.
Oleh kerana itu, proses bidaan keretanya dimulakan serta merta melibatkan beberapa pembeli di karnival tersebut.
Bermula dengan RM200,000, bidaan tersebut terus meningkat sebelum ditutup dengan jumlah tertinggi iaitu RM310,000.
Bagaimanapun, tindakan lelaki tersebut mengejutkan ramai apabila meminta agar wang hasil bidaan dimasukkan ke dalam akaun bank kekasih yang turut berada di program tersebut.
Katanya, dia meminta berbuat sedemikian kerana telefon bimbitnya mati akibat kehabisan bateri.
Achey minta jangan masukkan ke dalam akaun kekasih
Namun, orang ramai termasuk Achey segera melarang pemuda terbabit daripada membenarkan duit berkenaan masuk ke dalam akaun bank kekasihnya.
“Jangan bagi, jangan bagi,” jerit penonton yang berada di hadapan pentas.
Ditanya mahu buat apa dengan duit sebanyak itu, pemuda berkenaan menjawab mungkin akan menggunakan wang tersebut untuk berkahwin.
“Tapi saya nak ingatkan duit berada dalam akaun dia (kekasih). Awak kena hati-hati, benda ni jangan buat main.
“Woo bahaya… tak boleh, kena on juga telefon… walau macam mana sekalipun kena akaun awak.
“Kalau tanya saya, tak benarkan. Tak boleh, bahaya, akaun awek tak boleh, kalau akaun isteri mungkin (boleh), mana adik beradik dia,” nasihat Achey.
Pada akhir video, kelihatan kru acara memberikan powerbank kepada pemuda terbabit untuk menghidupkan semula telefon bimbitnya.
Pihak penganjur juga bertegas agar wang yang akan dimilikinya itu hanya dimasukkan terus ke akaun bank miliknya atau ahli keluarga terdekat sahaja.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen turut melahirkan rasa khuatir melihat tindakan pemuda terbabit yang mahu memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank kekasihnya.
Dalam pada itu, netizen turut memuji tindakan Achey yang pantas membuat keputusan terbaik untuk pemuda itu.
Baca juga: Baru tahu pelembut fabrik ada fungsi lain, guna tips ini buang tisu melekat pada baju