Perbezaan agama tidak menghalang seorang lelaki untuk terus mengekalkan hubungan yang erat dengan bekas isterinya meskipun sudah bercerai sejak tahun 2000 lalu.
Meruntun jiwa orang ramai, kisah bekas pasangan suami isteri yang berbeza agama itu dikongsikan anak mereka menerusi beberapa hantaran tular di platform TikTok.
Pemilik akaun bernama Baby Chello itu memaklumkan ibunya memeluk agama Islam selepas rasmi berpisah dengan bapanya yang merupakan penganut agama Kristian.
Walaupun sudah membawa haluan masing-masing, namun bapanya tidak pernah melepaskan peluang untuk melawat ibunya setiap kali bekas isterinya itu jatuh sakit.
Malah, lelaki itu juga setia mengiringi di hari terakhir bekas isterinya berada di dunia dengan menunggu proses pengurusan jenazah di luar hospital dan menghadiri tahlil.
“Ini bapa kami. Dia sudah bercerai dengan Mama sejak tahun 2000. Ini hari terakhir Mama kami berada di dunia. Setiap kali Mama sakit, bapa tidak pernah melepaskan peluang untuk melawatnya.
“Sampailah hari ini bapa saya iringi Mama dari dimandikan, dikafankan sampai ke liang lahad. Sejak berusia 10 tahun sehingga saya 38 tahun, bapa tetap setia hingga hujung nyawa walaupun sudah bercerai.
“Bapa saya beragama Kristian. Manakala Mama bergelar Muslim selepas bercerai kerana memeluk agama Islam. Bapa adalah WIRA saya. Al-fatihah Mama, semoga jumpa lagi,” kongsinya di TikTok.
Difahamkan, hantaran tersebut telah dimuat naik di TikTok pada Disember tahun lalu namun kembali tular seiring perkongsian kisah sedih yang ‘trending’ atau sohor kini.
Menerusi perkongsian lain, Baby Chello turut memuat naik rakaman ketika bapanya menghadiri beberapa majlis tahlil yang dilangsungkan selepas pemergian ibunya.
Jelasnya, bapa kesayangannya itu sentiasa mengambil tahu mengenai tarikh akan datang berhubung majlis tahlil bekas isterinya yang bakal diadakan kelak.
“Masa (majlis tahlil) 40 hari Mama. Bapa masih datang sebagai seorang sahabat yang hebat untuk Mama kami. Dia siap tanya lagi, ‘nak, bila hari ke-100 Mama.” Cerita Baby Chello.
Baca juga: Tak puas hati hasil kerja kontraktor, Aiman Hakim Ridza sanggup cuti 6 bulan untuk siapkan rumah