Ulang alik 300km setiap hari demi cari rezeki jual sayur di KL, ibu muda terkejut dapat hadiah motosikal

Oleh MAISARAH AISYA

Seorang ibu muda berusia 29 tahun tidak menyangka kisahnya yang berulang-alik 300 kilometer setiap hari dari Changkat Jering, Perak ke Kuala Lumpur demi menjual sayur segar, tular sehingga mendapat perhatian ramai pihak.

Siti Norol Salwani Ismail hanya menaiki motosikal ke Kuala Lumpur dan seringkali berdepan dengan masalah tayar pancit, selain terpaksa berhenti berniaga buat sementara waktu kerana motornya rosak.

Bagaimanapun dia terkejut apabila dikhabarkan ada pihak sanggup menghadiahkannya motosikal.

“Bagaikan mimpi, saya tertanya-tanya betulkah ada orang beri motosikal? Alhamdulillah, ia menjadi kenyataan,” kata Salwani menurut laporan Harian Metro.

Salwani memberi reaksi itu selepas menerima motosikal Yamaha LC 135 yang disumbangkan dan ditaja Datuk Christopher Raj dari ShekinahPR.

Sumbangan itu disampaikan Christopher bersama kru Bekpes Hot (Hot FM) di Sri Pentas, Bandar Utama di Petaling Jaya, Selangor, minggu lalu.

Siti Norol Salwani sebelum ini mencuri perhatian media berikutan kegigihannya mencari rezeki menjual sayur-sayuran segar dari Changkat Jering ke Kuala Lumpur sejauh kira-kira 300 kilometer dengan hanya menaiki motosikal sejak pertengahan tahun lalu.

Dia mengakui tidak menyangka kisah hidupnya itu tular dan mendapat perhatian ramai pihak termasuk stesen radio, lebih-lebih apabila perniagaannya terhenti awal tahun tadi berikutan motosikalnya rosak, selain sibuk menguruskan perkahwinan kali keduanya.

“Ramai yang mendoakan keselamatan saya dan ada yang cadangkan supaya saya bawa kereta (meneruskan perniagaan), malangnya saya cuma ada motosikal, malah saya tak pandai pun bawa kereta.

“Pada 22 Februari lalu Hot FM memanggil saya ke Sri Pentas untuk sesi temu bual dan KJ (Khairy Jamaluddin) menyeru orang ramai menyalurkan sumbangan, tak sangka ia menjadi realiti,” katanya.

Siti Norol Salwani menganggap pemberian motosikal itu sebagai hadiah perkahwinan terbesar yang diterima selepas mendirikan rumah tangga dengan suami Hazimin Radzi, 34, pada 16 Februari lalu dan bercadang kembali berniaga selepas Aidilfitri nanti.

“Alhamdulillah perkara itu menjadi kenyataan apabila Datuk Christoper Raj bersama kru Bekpes Hot secara rasmi menyerahkan motosikal yang baharu kepada saya dan suami. Saya bersyukur dan sangat berterima kasih,” katanya.

Pada 19 Februari lalu, Harian menyiarkan kisah Siti Norol Salwani yang menempuh perjalanan lebih 300 kilometer menaiki motosikal semata-mata mahu mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

Dia cekal berniaga seminggu sekali di Kuala Lumpur demi menyara seorang anak lelaki berusia 10 tahun.

Baca juga: Pernah terima bayaran RM80k untuk satu persembahan, Mawi kini fokus jadi penyampai radio