Suami isteri ditahan di bazar Ramadan rupanya pembekal senjata api lelaki warga Israel

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, sepasang suami isteri yang ditahan polis di bazar Ramadan di Kuala Selangor, malam semalam adalah pembekal senjata api kepada lelaki warga Israel.

Menurut sumber, pasangan berusia 42 dan 40 tahun itu membeli senjata berkenaan di negara jiran iaitu Thailand sebelum diserahkan kepada lelaki warga asing tersebut.

Tangkapan yang dipercayai dilakukan pada jam 7.15 malam itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain namun beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

Jelas Razarudin, siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihaknya dari semua segi bagi mengesan mereka yang terbabit dalam kes menggemparkan ini, lapor Harian Metro.

Pasangan terbabit ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebelum dibawa ke rumah mereka, juga di Kuala Selangor.

Tindakan pihak polis itu berjaya membawa kepada penemuan sepucuk pistol dalam sebuah beg galas yang diletakkan di dalam kereta Honda Jazz milik mereka berdua.

Berdasarkan maklumat dikongsi sumber, suspek lelaki dipercayai merupakan individu bertanggungjawab membekalkan enam pistol kepada warga Israel yang memasuki negara ini menggunakan pasport Perancis.

Terdahulu, seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai warga Israel ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Suspek yang didapati memiliki enam senjata api bersama 200 butir peluru itu memasuki negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 12 Mac lalu.

Siasatan lanjut oleh pihak polis turut mendapati bahawa kesemua senjata berkenaan telah dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.

Pihak polis kini sedang giat menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif utama lelaki Israel itu memasuki negara ini selain tujuannya membeli senjata api tersebut.

Dalam perkembangan baharu, seorang sumber mendedahkan bahawa lelaki terbabit dikesan mengamalkan gaya hidup mewah di ibu negara sejak memasuki Malaysia.

Tidak hanya mendaftar masuk ke hotel lima bintang, suspek juga sering membeli-belah di sebuah pusat beli-belah mewah di ibu negara sepanjang berada di negara ini.

Baca juga: Plus bagi izin guna lorong kecemasan kalau trafik sesak masa raya, tapi kena tahu dulu lorong yang mana