Terpaksa tinggal di hotel sebab ‘renovate’ rumah, Nora Danish tak sangka kontraktor sanggup khianat

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sahaja tidak berang jika sudah mengupah kontraktor dengan bayaran mahal tapi hasilnya hingga sekarang tak dapat dinikmati.

Apatah lagi kos duduk di luar rumah menambah lagi tekanan, malah kos ubah suai juga sudah hampir dibayar sepenuhnya.

Itulah yang terjadi kepada pelakon yang tak dimamah usia, Nora Danish yang mengupah seseorang untuk mengubah suai rumahnya.

Selepas beberapa bulan tinggal di hotel dan rumah ibunya, Nora memaklumkan mahu mengambil tindakan terhadap kontraktor yang didakwa menipunya dalam proses pengubahsuaian kediaman.

Walaupun sudah menerima bayaran sebanyak 90 peratus, namun kontraktor yang sudah dianggap keluarga itu tetap tidak menyempurnakan tugas.

“Saya sudah bayar 90 peratus sejak Ogos lalu dan tinggal di hotel sudah melebihi empat bulan. Sekarang tiga bulan saya menginap di rumah ibu. Betapa penatnya hadap benda ini.

“Salah saya kerana terlalu percaya dengan individu yang digelar ‘adik’, kerja tak habis terus angkat kaki.

“Tinggalkan kami terkontang-kanting kena tipu dengan kontraktor tidak berhati perut,” kata Nora menerusi hantaran Instagramnya.

Jika isu tersebut masih tidak selesai, Nora dikatakan mahu membuat laporan polis apabila sudah beri muka terlalu lama.

“Kontraktor itu memang buat hal. Saya akan membuat laporan polis untuk kalian berdua jika kalau rumah saya tidak siap dalam minggu hadapan.

“Dari Januari patut siap. Sekarang sudah masuk April. Nak kata sabar, saya dah sabar lama. Memang polislah jawapannya.

“Menjelang minggu hadapan tidak siap juga, kalian masuk penjara,” tambahnya.

Baca juga: Anak baru 14 tahun, netizen terkejut ahli perniagaan bagi elaun hampir RM100k sebulan