Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan pasangan pengantin baharu di Melaka yang diraikan dalam majlis bertemakan perpaduan kaum di media sosial.
Mencuri perhatian ramai, ketibaan pengantin berbangsa Melayu itu disambut dengan paluan kompang dan kalungan bunga Malai yang sering digunakan oleh kaum India.
Tidak hanya disajikan dengan persembahan silat, pasangan berkenaan turut diraikan bersama kehadiran penari tarian singa yang cukup sinonim dengan masyarakat Cina.
Majlis yang diadakan di dewan Hang Tuah, Melaka itu semakin gamat apabila kumpulan gendang India mengiringi pasangan pengantin baharu tersebut masuk ke dewan.
Tular di media sosial, rakaman kenduri kahwin itu dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok dikenali sebagai @Lovehazirah yang merupakan sepupu kepada pengantin.
Pemilik akaun memaklumkan, itulah kali pertama dirinya menghadiri majlis dimeriahkan dengan tarian singa, kompang dan gendang yang dimainkan kaum Melayu, India dan Cina.
“Meriahnya! Pertama kali pergi majlis kahwin yang ada tarian singa, kompang dan gendang India. Seronok! Perpaduan kaum sangat,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Menerusi video itu, dapat dilihat rata-rata tetamu yang hadir menikmati kemeriahan kenduri unik berkenaan dengan ikut menari dan berteriak membangkitkan suasana.
Tinjauan di ruangan komen pula mendapati ramai penonton berkongsi rasa terharu apabila melihat semangat perpaduan kaum menerusi video kenduri kahwin tersebut.
“Sumpah seronok apabila tengok semua bersatu, semoga perpaduan di antara kita kekal sampai bila-bila,” kata seorang penonton yang berkongsi perasaan terharunya.
“Majlis perkahwinan paling terbaik di abad ini, serius! Saya mendoakan pasangan ini dikurniakan kebahagiaan dan kesihatan selamanya.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Harap orang berhenti pertikai tiada mesin basuh, Ina Naim kini buka dobi