Baru tahu ada cara ‘betul’ guna mesin pengering di dobi, patutlah kain susah kering!

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelanggan kedai dobi layan diri pasti pernah berdepan dengan situasi menjengkelkan apabila kain yang telah dimasukkan ke dalam mesin pengering masih kekal basah.

Tidak mahu situasi ini dialami oleh orang ramai sehingga menjadi punca pembaziran, seorang lelaki tampil berkongsi kaedah lebih tepat menggunakan mesin pengering.

“Situasi ini mungkin disebabkan oleh cara pengeringan yang kurang betul. Misalnya saya dapati, ramai orang hanya mencampakkan sahaja kain mereka terus ke dalam mesin pengering dengan keadaan kain yang masih basah dan berpuntal-puntal.

“Cara begini sebenarnya SALAH. Hal ini kerana, amalan itu akan mengakibatkan kain anda tidak dapat ‘berkembang’ dengan baik sewaktu mesin pengering ini berpusing.

“Lalu ia akan menyebabkan kain tidak dapat kering dengan sempurna. Terutamanya pada di bahagian pinggang dan kaki seluar atau kain yang agak tebal,” kata pemilik akaun Facebook Salkukhairi N Sons.

Berikut kami kongsikan kaedah menggunakan mesin pengering dengan lebih tepat berdasarkan hantaran Salkukhairi yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya itu.

1. Perah dan kibas kain terlebih dahulu bagi memastikan tiada lagi sisa air dan baju dapat mengembang serta tidak berpuntal-puntal di dalam mesin pengering.

2. Masukkan kain ke dalam mesin pengering sehelai demi sehelai dalam keadaan kembang. Sila susun secara berlapis.

3. Cara ini mewujudkan ruang di antara kain agar ia dapat berpusing dalam mesin dengan baik dan menyempurnakan proses pengeringan.

4. Selain mencepatkan proses, wang dan masa juga dapat dijimatkan kerana kain boleh kering dalam masa 30 hingga 35 minit sahaja (sebakul penuh).

5. Tidak hanya itu sahaja, kain juga tidak akan berkedut dan mudah untuk dilipat sebaik sahaja dikeluarkan dari mesin pengering.

Baca juga: “Isteri pernah nak minta berpisah, gara-gara aku tak bagi dia rapat dengan kawan dia yang pernah suka kaum sejenis”