Keputusan pengeluar papan litar Austria, AT&S memperluas operasinya di Kulim, Kedah dijangka akan memperkukuh lagi ekosistem semikonduktor negara serta membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya memaklumkan bahawa pelaburan itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan teknologi berimpak tinggi.
Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana keputusan dibuat susulan pertemuan yang berlangsung dengan syarikat tersebut pada awal Jun lalu itu membuktikan bahawa perbincangan berkenaan membuahkan hasil positif kepada negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menekankan bahawa pelaburan syarikat antarabangsa seperti AT&S membuktikan bahawa dasar jelas, kestabilan politik dan tatakelola yang baik mampu meningkatkan daya tarikan Malaysia.
“Keyakinan pelabur antarabangsa seperti AT&S membuktikan bahawa dasar yang jelas, kestabilan politik, tatakelola yang baik serta iltizam kerajaan untuk memacu transformasi ekonomi sedang meletakkan Malaysia di landasan yang tepat sebagai destinasi utama pelaburan teknologi maju dan pusat pertumbuhan ekonomi baharu rantau ini.
“Perkembangan ini amat bermakna dalam menjulang semangat saling percaya dan komitmen terhadap masa depan ekonomi digital negara yang kini diterjemahkan melalui pelaburan yang nyata serta berimpak tinggi kepada negara,” katanya dalam perkongsian itu.

Terdahulu, AT&S mengumumkan pelaburan baharu sehingga €2 bilion (sekitar RM10 bilion) di Malaysia bagi memanfaatkan ledakan sektor kecerdasan buatan (AI) dengan memperluaskan operasinya di Kulim, Kedah.
Sekadar info, syarikat tersebut adalah peneraju global dalam pengeluaran substrat litar bersepadu (IC) bernilai tinggi dan papan litar bercetak, selain membangunkan teknologi perhubungan canggih yang menyokong pelbagai industri strategik.
Industri strategik tersebut merangkumi sektor peranti mudah alih, automotif, aeroangkasa, perubatan, perindustrian serta pengkomputeran berprestasi tinggi bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI).
Baca juga: PM Anwar umum geran RM1 juta, isu Rumah Panjang Bukit Kiara selesai dengan persetujuan ini