Ibu bapa kepada Zayn Rayyan mengaku tak bersalah, dituduh mengabaikan anak

Oleh WAN SITI AMINAH

Ibu dan bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak mereka pada Disember tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang berusia 29 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berkenaan didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikan anak mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai pada pukul 12 tengah hari pada 5 Disember hingga pukul 9.55 malam 6 Disember lalu, lapor Kosmo.

Pertuduhan dikemukakan ke atas ibu bapa kepada anak autisme berusia enam tahun itu mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Hukuman untuk seksyen berkenaan memperuntukkan denda maksimum sebanyak RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Saya faham pertuduhan, saya tidak mengaku bersalah,” kata kedua-dua tertuduh dengan tenang ketika masing-masing ditanya pengakuan untuk direkodkan memetik laporan Kosmo.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron manakala peguam Fahmi Abd Moin dan Mahmud Abdul Jumaat masing-masing mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira.

Sebelum pertuduhan dibacakan, jurubahasa bertanya kepada kedua-dua tertuduh sama ada mereka sihat atau tidak lalu Zaim Ikhwan menyatakan dirinya sihat manakala Ismanira pula mengatakan dia tidak sihat dan mengalami muntah.

Zaim dan isterinya, Ismanira kemudian dibebaskan dengan jaminan masing-masing sebanyak RM10,000 selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Terdahulu, pasangan berkenaan ditahan dan direman tujuh hari hingga 7 Jun ini di Mahkamah Petaling Jaya untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kes pembunuhan anak mereka.

Pada 7 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai sekitar pukul 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh sekumpulan penduduk yang mencarinya secara sukarela kira-kira 200 meter dari blok tempat tinggalnya itu.

Ditemukan di dalam keadaan terbaring, kanak-kanak itu dipercayai telah dibunuh selepas hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Baca juga: Ibu bapa Zayn Rayyan direman 7 hari, siasatan dilakukan mengikut seksyen 302