Pergolakan rumah tangga pasangan selebriti sensasi iaitu Aliff Aziz dan Bella Astillah akhirnya menemui titik noktah selepas disahkan bercerai talak satu, tengah hari tadi.
Difahamkan, Aliff yang merupakan penyanyi dan pelakon itu melafazkan talak terhadap Bella kira-kira pada jam 1.10 tengah hari di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat.
Wan Mohd Najib kemudian mengesahkan bahawa talak yang dilafazkan oleh Aliff di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur itu mengikut hukum syarak.
Dalam prosiding berkenaan, Bella yang juga bergelar penyanyi dan pelakon itu telah bersetuju untuk tidak membuat sebarang tuntutan termasuklah mutaah dan nafkah iddah.
Aliff juga melepaskan hak penjagaan sepenuhnya kedua-dua cahaya mata mereka iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7 dan Ara Adreanna yang kini berusia empat tahun kepada Bella.
Sebaik sahaja prosiding penceraian itu selesai, Bella menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya memberikan ucapan khas yang ditujukan kepada bekas sahabat baiknya iaitu pelakon kontroversi, Ruhainies.
Dengan nada sindiran, Bella Astillah mengucapkan tahniah kepada Ruhainies kerana berjaya meruntuhkan mahligai rumah tangga yang dibinanya bersama Aliff pada lapan tahun lalu.
“Selepas hari ini, saya tidak lagi ingin mencintai seseorang terlalu dalam. Kerana jika berpisah, lukanya pun pasti terlalu dalam.
“Buat kali terakhir, saya ingin mengucapkan tahniah kepada bekas sahabat, Ruhainies kerana berjaya meruntuhkan masjid ini hingga anak-anak saya kehilangan bapa mereka,” tulis wanita berusia 30 tahun itu.
Dalam hantaran sama, pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah itu turut meluahkan rasa kecewa kerana tidak berjaya menyelamatkan rumah tangga meskipun pelbagai usaha dilakukannya selama ini.
Pelantun lagu Diari Ramadan itu juga mengakui sudah penat dan tidak mampu untuk memperjuangkan hubungannya dengan suami selain mahu meneruskan kehidupan baharu bersama anak-anak.
“Saya selalu percaya bahawa peluang mampu mengubah seseorang tetapi hanya jika digunakan dengan baik. Kesalahan yang dibuat berulang-ulang bukanlah satu kesilapan tetapi pilihan.
“Saya mengimpikan rumahtangga yang kekal tetapi bila difikirkan balik, seberapa banyak peluang yang telah diberikan. Pada akhirnya, saya tidak mampu melawan takdir. Sudah cukuplah perjuangan yang sia sia ini.
“Kerana saya seorang sahaja yang berjuang. Doakan saya agar kehidupan baharu bersama anak-anak dipermudahkan. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk menjadi ibu dan bapa yang terbaik untuk mereka.” Ulas Bella.
Bella turut mengambil peluang itu untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuklah keluarga, sahabat, rakan media dan pengikutnya kerana sentiasa menyokong serta mendoakan yang terbaik buat dirinya.
Terdahulu, pergolakan di dalam rumah tangga Bella semakin meruncing selepas Aliff Aziz ditangkap khalwat di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur bersama Ruhainies pada 9 Mac lalu.
Bella kemudian memfailkan perceraian secara ekspres daripada suaminya pada 11 Mac lalu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan namun tuntutan tersebut tidak berjaya kerana Aliff tidak memberikan kerjasama.