Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan perpisahan daripada ulama besar Gambia, Sheikh Muhammad Haydara Al-Jilani dalam satu pertemuan pada Jumaat.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Anwar memaklumkan bahawa ulama terbabit berada di Malaysia sejak sebulan lalu bagi memimpin beberapa siri majlis ilmu dan zikir di beberapa lokasi.
Bertepatan dengan pertemuan tersebut, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu mengambil kesempatan memohon agar ulama besar Gambia menitipkan doa khusus buat Malaysia.
“Alhamdulillah, berkesempatan menerima kunjungan perpisahan daripada ulama besar Gambia, Sheikh Muhammad Haydara Al-Jilani, yang kini berada di Malaysia sejak sebulan lalu.
“Justeru, bersempena Hari Asyura yang juga jatuh pada hari Jumaat penuh keberkatan ini, saya turut memohon agar Sheikh menitipkan doa buat kesejahteraan rakyat, keamanan negara, serta semoga Malaysia terus dikurniakan rahmat, keberkatan dan perlindungan Allah SWT,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen Tambun itu turut memuat naik gambar diambil bersama Sheikh Muhammad Haydara Al-Jilani dalam pertemuan mereka.
Difahamkan, Sheikh Muhammad Haydara merupakan salah seorang tokoh ulama sufi antarabangsa yang juga pemimpin spiritual The Qadriyya Association di The Gambia.
Baca juga: Selepas 52 tahun, Malaysia dan Switzerland runding semula perjanjian pengelakan cukai berganda