Adik Zayn Rayyan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan, berada dalam jagaan JKM Selangor

Oleh MALAYSIADATELINE

Adik kepada Zayn Rayyan iaitu kanak-kanak autisme yang dibunuh pada Disember tahun lalu kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim yang mengatakan terdapat keperluan untuk pihaknya mengambil kanak-kanak berkenaan dari jagaan keluarganya.

Difahamkan, JKM Selangor datang ke rumah ahli keluarga ibu bapa Zayn di Puncak Bestari sebelum kanak-kanak lelaki itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan, lapor Berita Harian.

“Kita bawa dia ke hospital untuk tujuan pemeriksaan dahulu. Selesai laporan nanti, barulah kita tentukan macam mana tindakan akan diambil,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Terdahulu, ibu bapa kepada Zayn Rayyan berdepan pertuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan ke atas anak mereka di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, semalam.

Kedua-dua tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun terbabit didakwa bersama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai pada pukul 12 tengah hari pada 5 Disember sehingga pukul 9.55 malam, 6 Disember lalu.

Pertuduhan dikemukakan ke atas ibu bapa kepada anak autisme berusia enam tahun itu mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Hukuman untuk seksyen berkenaan memperuntukkan denda maksimum sebanyak RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 7 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai sekitar pukul 10 malam.

Mayat mangsa ditemui di dalam keadaan terbaring oleh sekumpulan penduduk yang mencarinya secara sukarela kira-kira 200 meter daripada blok tempat tinggalnya itu.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh selepas hasil bedah siasat ke atas jasadnya menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Baca juga: Ibu bapa kepada Zayn Rayyan mengaku tak bersalah, dituduh mengabaikan anak