Seorang individu berkongsi mengenai kisah sahabatnya yang terpaksa bertungkus lumus melakukan tiga pekerjaan dalam satu masa demi melunaskan pinjaman rumah.
Walaupun sahabatnya itu bergaji agak selesa dengan bulanan RM3,500, namun ia tidak mampu membiayai komitmen hidup yang tinggi.
Kongsi individu bernama Fit di X, dia berkata rakannya itu perlu membayar pinjaman perumahan sebanyak RM1,000 sebulan.
Jika difikirkan, ia bukanlah satu masalah untuk mereka yang bergaji besar. Namun kata Fit, segalanya bertukar kucar kacir selepas sahabatnya tidak dapat mengurus kewangan dengan baik.
“Kawan baik saya beli rumah dengan gajinya RM3,500. Selepas sudah dapat kunci, pengurusan kewangan diri sendiri terus jadi kucar kacir.
“Ia disebabkan bayaran bulanan RM1,000 untuk rumah tu. Gaji tu belum tolak KWSP lagi. Sumpah tengok dia struggle gila nak bayar.
“Walaupun dia ada buat tiga pekerjaan iaitu kerja hakiki, dropship dan e-Hailing,” ujarnya dalam satu ciapan di X, menurut laporan mStar.
Hantaran tersebut nyata mendapat perhatian ramai yang berpendapat perkara pertama perlu diambil kira sebelum membeli rumah adalah kemampuan kewangan sendiri.
Walaupun kita merasakan ada lebihan duit yang banyak, namun ia tidak sama ketika seseorang itu mula mempunyai komitmen yang besar.
Tanpa diduga, hantaran tersebut turut mendapat perhatian tuan badan yang membaca ciapan dibuat oleh Fit.
Fit berkata, gaji rakannya itu ketika ini sebenarnya lebih daripada RM3,500 sebulan kerana melakukan tiga pekerjaan sekaligus, namun tetap tidak dapat mengelak dari kesukaran membayar ansuran bulanan rumah.