Pemuda India ini tak menyesal tinggalkan kerjaya jurutera demi jadi usahawan cili, semusim boleh dapat RM50k

Oleh KIM SYAZIE

Seorang anak muda di Teluk Intan, Perak mengakui seronok dapat berbudi kepada tanah sehingga bergelar seorang usahawan cili.

A. Srinath, 29, mengusahakan tanaman cili secara fertigasi sejak empat tahun lepas ketika kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu negara dilanda COVID-19.

Ternyata momen itu menjadi titik tolak kepada Srinath yang juga seorang jurutera perisian untuk meninggalkan kerjayanya dan mengusahakan tanaman cili miliknya.

Keputusannya membuahkan kejayaan kerana kini dia mampu mendapat hasil lumayan dan paling menggembirakan, ia sedikit sebanyak membantu menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.

Menurut laporan Bernama, Srinath mampu meraih pendapatan sekitar RM40,000 hingga RM50,000 dengan tuaian kira-kira lima tan semusim.

“Selepas tamat tempoh bekerja dari rumah, saya pulang semula ke Subang Jaya, Selangor untuk bekerja di pejabat namun saya rasa seronok pula menjadi petani.

“Saya berbincang dengan ibu bapa nak tanam cili merah dalam skala besar dan saya mengambil keputusan meletak jawatan selepas tiga tahun bekerja sebagai jurutera dan balik ke sini untuk tanam cili,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Tenaga Nasional itu berkata, pada mulanya dia menanam 400 polibeg cili merah menggunakan sistem fertigasi bersama abang sulungnya berdekatan kediaman ibu bapa mereka di Changkat Jong semasa tempoh PKP.

Anak kedua dari tiga beradik itu menggunakan wang simpanan berjumlah kira-kira RM50,000 untuk membeli peralatan sistem fertigasi seperti polibeg, paip, pam air serta pembinaan stor untuk memulakan tanaman cili fertigasi berkenaan.

Menyedari dirinya tiada pengalaman luas dalam bidang pertanian, Srinath berkata, dia mengikuti beberapa kursus yang dikelolakan Jabatan Pertanian Perak serta belajar antaranya cara semaian biji benih, bancuhan baja atau racun serangga perosak serta sistem fertigasi seperti pam dan paip.

Srinath yang menyewa sebidang tanah seluas 0.68 hektar milik individu persendirian telah menanam 2,500 polibeg cili merah jenis ‘Kulai 461’ dan mempunyai tiga pekerja untuk membantunya setiap hari.

Menurutnya, cili merah itu dijual di sekitar daerah itu antaranya Pasar Besar Teluk Intan, pasar raya dan kedai runcit selain turut dijual kepada pemborong di Pasar Borong Selayang di Selangor dengan harga RM6 hingga RM11 sekilogram mengikut harga pasaran semasa.

Baca juga: Perlu bayar saman sebelum keluar dari negara, MOT beri amaran keras kepada kenderaan asing