Pelakon jelita, Nora Danish kembali mencuri perhatian selepas mengejutkan banyak pihak dengan kisah penceraiannya dengan bekas suami iaitu Nedim Nazri.
Menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya, pelakon yang berusia 42 tahun itu tampil cukup ayu dengan mengenakan sehelai hijab berwarna hitam di kepalanya.
Dalam tiga keping gambar yang dikongsikannya, pemilik nama sebenar Nora Mohd Danish Hanif itu turut memakai sepasang baju ‘hoodie’ kelabu berjenama tempatan.
Hantaran terbaharu Nora ini sudah tentunya menimbulkan persoalan sama ada ibu kepada dua anak itu mahu berhijrah ataupun ia sekadar watak baharu lakonannya.
Persoalan ini bagaimanapun kekal menjadi tanda tanya berikutan Nora Danish tidak meletakkan sebarang kapsyen selain daripada jenama pakaian yang dikenakannya.

Watak utama dalam sitkom popular, Puteri itu turut menutup ruangan komen namun hantaran berkenaan dihujani dengan tanda suka daripada peminat dan rakan artis.
Sebelum ini, Nora Danish turut mengundang perbincangan hangat selepas berkongsi video mengenai seorang suami yang mahu isterinya mentaati perintah Tuhan dengan mendirikan solat.
Hantaran yang turut dimuat naik di platform Instagram itu seakan-akan memberikan bayangan bahawa Nora mengimpikan suami yang mampu membimbingnya ke jalan Allah SWT.
Terdahulu, Nora dan bekas suami iaitu Nedim bersetuju untuk berpisah secara baik menerusi prosiding di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu.
Pasangan tersebut melangsungkan perkahwinan pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan dengan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl yang kini berusia enam tahun.
Nora Danish juga pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008.
Baca juga: Sering diganggu kaum sejenis, siap ‘dm’ cakap rindu, Shiha Zikir tolak secara lembut