Persembahan penyanyi, Ayda Jebat di dalam rancangan The Hardest Singing Show yang bertemakan air, api dan angin baru-baru ini telah berjaya memukau penonton.
Malah, aksi berbahaya yang dilakukan Ayda pada minggu ke-8 itu berbaloi selepas diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pilihan The Hardest Singing Show Alha Alfa.
Namun tahukah anda, penyanyi berusia 32 tahun itu sebenarnya berdepan dengan detik cemas ketika melakukan latihan aksi ‘akrobatik’ untuk persembahan tersebut.
Pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat itu difahamkan telah melakukan kesilapan ketika mahu mendarat sehingga menyebabkan kesakitan pada bahagian perutnya.
Menurutnya, tempat pembedahan ‘Caesarean Section‘ (Czer) yang berada di dalam proses pemulihan selepas bersalin pada bulan Disember tahun lalu terasa berdenyut.
Namun kesakitan yang dialaminya itu langsung tidak mematahkan semangat malah Ayda kembali meneruskan latihan selepas berehat dalam jangka masa sehari sahaja.
“Cubaan pertama, salah mendarat. Mendarat pada bahagian depan. Berdenyutlah di tempat Czer. Nasihat sikit mak budak ini. Lupa diri. Tetapi ‘practice makes perfect’.
“Alhamdulillah, sumpah muka pucat sebelum naik pentas sebab memikirkan macam-macam benda. Kerja gila,” akuinya dalam satu hantaran dimuat naik di akaun TikTok.
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna meluahkan kebimbangan dengan kelincahan Ayda dan berdoa agar ibu kepada dua cahaya mata itu berada dalam keadaan yang baik.
Ramai juga individu tampil menasihati Ayda untuk terus berehat selepas rancangan realiti nyanyian tersebut tamat selain melakukan pemeriksaan kerana khuatir kesan pembedahan tidak sembuh sepenuhnya.
“Awak, selepas habis (rancangan) ini, kena rehat banyak-banyak. Tolong buat pemeriksaan di bahagian perut. Tengok apa yang jadi dekat tempat Czer, luka dalam itu sembuh ke belum,” luah seorang peminat yang khuatir.
“Baru habis pantang. Belum pulih sepenuhnya. Badan masih muda memang tak rasa sakit. Takut sudah tua dan berumur nanti baru rasa kesannya.” Kongsi pengguna lain.