Pernah ambil anak angkat, Mark Adam dedah hanya sempat jaga setahun sahaja

Oleh MAISARAH AISYA

Banyak pasangan yang berkahwin tapi tidak mempunyai rezeki untuk menimbang cahaya mata sendiri akan memilih anak angkat sebagai penyeri hidup.

Namun begitu ada juga ibu bapa kandung yang sanggup mengambil anak selepas menyerahkan mereka kepada keluarga angkat.

Begitulah yang terjadi kepada penyanyi Mark Adam apabila mendedahkan isterinya mengambil masa dua tahun untuk pulih dari kesedihan dan trauma.

Menurut Harian Metro, Mark berkongsi dirinya dan isteri pernah mengambil anak angkat dan sempat jaga selama setahun sebelum dipulangkan semula kepada ibu kandungnya.

“Kami pernah ambil anak angkat yang juga bayi perempuan berusia lapan bulan dari seorang kenalan selepas enam tahun berkahwin dan sempat meraikan sambutan hari jadinya ketika berusia setahun.

“Namun, anak angkat itu terpaksa dipulangkan semula kepada ibu kandungnya dan kejadian itu sangat menyedihkan isteri yang sudah menyayanginya seperti anak sendiri.

“Mujur isteri juga pencinta haiwan dan dia mengubati kesedihan itu dengan mencurahkan kasih sayang kepada 25 ekor kucing yang dipelihara di rumah,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Ambil pengajaran berdasarkan pengalaman, Mark memaklumkan jika ada rezeki, mereka akan mengambil anak angkat menerusi prosedur undang-undang yang sah.

“Berdasarkan pengalaman lalu, kami tidak boleh ambil anak angkat begitu sahaja, sebaliknya ia perlu dilakukan mengikut prosedur undang-undang yang sah.

“Kalau saya ada anak, saya juga mahukan anak lelaki sebab dia boleh menjaga ibunya bila kami sudah tua kelak,” katanya.

Baca juga: Hampir 3 bulan cerai, Adira bagi ‘hint’ masih sukakan Datuk Red, siap cakap “nak kahwin dengan awak je”