Pelanggan terkejut dapat Nasi Hujan Panas dengan harga RM3, siap berlauk ayam!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pemuda tidak menyangka, menu makanan tengah hari iaitu Nasi Hujan Panas yang dijual oleh peniaga gerai tepi jalan di Melaka hanyalah berharga RM3.

Malah peniaga berkenaan juga memberikan pilihan lauk menyelerakan seperti ayam masak merah, kari ayam atau ayam masak kicap tanpa mengenakan caj tambahan.

Berdasarkan satu hantaran di platform TikTok, pemuda terbabit datang ke gerai milik seorang peniaga wanita bertanyakan makanan yang dapat dibeli dengan wang RM3.

Peniaga kemudian menjawab bahawa gerai miliknya yang hanya beroperasi selama tiga hari seminggu itu menjual nasi bersama tiga pilihan lauk dengan harga tersebut.

Selepas bersetuju untuk membelinya, pemuda berkenaan terkejut apabila mendapati peniaga tidak meletakkan nasi putih dalam bungkusan sebaliknya Nasi Hujan Panas.

Peniaga terbabit juga langsung tidak berkira dengan meletakkan nasi ‘warna warni’ itu di dalam kuantiti yang banyak sehingga memenuhi ruangan bungkusan makanan.

“Jumpa lagi tempat murah. Nasi Hujan Panas siap lauk RM3 sahaja. Kedai ini dekat pekan Teluk Mas, Melaka. Terletak berhadapan kedai serbaneka 7-Eleven,” katanya dalam hantaran tersebut.

Mencuri perhatian ramai, rata-rata pengguna TikTok yang menonton video tersebut juga seakan tidak percaya bahawa hidangan itu boleh didapati dengan harga RM3.

Hal ini kerana ramai pengguna berkongsi pendapat bahawa kebiasaannya, mereka hanya boleh membeli nasi putih semata-mata dengan harga sebegitu di kedai lain.

“Kalau dekat tempat aku di Jasin, nasi kosong sahaja pun harganya RM2. Ya Allah, murahkanlah rezeki kakak ini,” doa seorang pengguna dengan tulus untuk peniaga berkenaan.

“Sumpah murah, memang selalu beli untuk anak. Sedap anak cakap. ‘Portion’ juga banyak. Sampai sekarang tertanya macam mana boleh jual RM3 sahaja.” Kongsi pengguna yang merupakan pelanggan peniaga terbabit.

Difahamkan, gerai Nasi Hujan Panas itu hanya beroperasi selama tiga hari iaitu Isnin, Selasa dan Rabu daripada pukul 11 pagi sehinggalah jam 2.30 petang (paling lewat).

Bagaimanapun, gerai tersebut kadang-kadang ditutup lebih awal sekiranya semua hidangan Nasi Hujan Panas itu habis dibeli oleh pelanggan dengan cepat.

@ceokakireview

jumpa lagi tempat murah..nasi hujan panas siap lauk RM3 je..dekat pekan teluk mas melaka..depan 7eleven je.. #murah #gila #sedap #streetfood #food #foodie #foodieee #kakireview

♬ Peaceful and joyful pop with ukulele and whistle(1322918) – 314P

Baca juga: Rider tak sampai hati terima tip RM500 dari makcik tua, ambil keputusan pulangkan semula