Pakaian rasmi kontinjen negara ke temasya Sukan Paralimpik 2024 di Paris, Perancis telah berjaya mengundang perbincangan hangat di media sosial, baru-baru ini.
Walaupun menggunakan rona putih sebagai warna utama, pakaian tersebut berhasil memikat mata memandang dengan motif berbelang biru, merah, kuning dan kelabu.
Keputusan pereka mengambil kombinasi warna Jalur Gemilang ini dianggap sebagai langkah yang bijak kerana dilihat lebih menonjol dan tentunya tidak jemu dipandang.
Pakaian rasmi kontinjen negara ini diperkenalkan Majlis Paralimpik Malaysia (PCM) menerusi beberapa hantaran menerusi laman media sosial termasuklah di platform X.
“Penantian telah berakhir. Fresh from the oven (Baru keluar dari ketuhar). Kami teruja untuk memperkenalkan pakaian rasmi kontinjen Malaysia untuk Sukan Paralimpik Paris 2024,
“Bersedialah untuk menyerlah dan mempamerkan sokongan anda dengan bergaya!,” ciap PCM bersama hantaran video pendek memperkenalkan pakaian rasmi tersebut.
PCM turut memilih dua atlet paralimpik iaitu Muhammad Imaan Aiman dan Abdul Razzaq Abdul Rahman sebagai model untuk menggayakan pakaian rasmi berkenaan.
Tinjauan mendapati, maklum balas yang diterima PCM jauh berbeza dengan situasi dihadapi Majlis Olimpik Malaysia ketika memperkenalkan pakaian rasmi atlet Olimpik.
Bukan sahaja dibanjiri pujian, ramai juga pengguna menunjukkan minat mereka untuk membeli pakaian itu sebagai koleksi dan tanda sokongan kepada atlet paralimpik.
“Rekaannya memang terbaik. Daripada oren hitam, kita beralih kepada corak yang baharu. Tetapi semangat Harimau Malaya masih dikekalkan. Selamat maju jaya kepada atlet paralimpik,” kata seorang pengguna.
“Wau! Cantiknya. Kalau jual tolong beritahu ya. Terbaik. Semoga atlet sentiasa meraih kejayaan dan maju jaya. Amin,” kongsi pengguna lain menunjukkan minat mereka untuk membeli pakaian rasmi tersebut.
Beberapa individu juga berpendapat salah seorang model iaitu Imaan Aiman yang merupakan atlet renang para negara memiliki rupa paras menyerupai pemain bola sepak, Safawi Rashid.
Baca juga: Relaks je tak pernah tunjuk kaya, netizen terkejut jam tangan Nabil Ahmad cecah RM67,000