Teringin nak makan nasi lemak setiap hari, Yuna anggap hidup di tanah air jauh lebih berkualiti

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sahaja tidak mengetahui lagu ‘Dan Sebenarnya’ yang popular pada tahun 2008 dan penyanyi Yuna kini menetap di Amerika Syarikat.

Namanya sudah besar di persada antarabangsa malah pernah berkoloborasi bersama penyanyi Crush dan kumpulan Korea, Epik High.

Menurut Kosmo! Online, Yuna dan suami Adam Sinclair kini menikmati waktu lapang di Malaysia sambil menyempurnakan urusan kerja yang sudah disusun awal.

“Kami memang merancang tinggal lebih lama di tanah air untuk kepulangan kali ini seterusnya ambil langkah memulakan ‘base’ di Kuala Lumpur.

Saya rasa kualiti kehidupan di sini jauh lebih baik. Saya pun makin berusia, sudah penat berjalan-jalan. Saya ingin duduk Malaysia dan bersarapan nasi lemak setiap hari.

“Memandangkan saya juga ada beberapa komitmen tugasan, saya putuskan untuk berada di Kuala Lumpur selama tiga bulan iaitu sehingga Oktober,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Pada masa sama Yuna terlibat dalam program yang mencungkil bakat nyanyian menerusi platform media sosial sebagai juri program.

“Kebetulan saya bercuti panjang membuatkan saya terima tawaran Astro memandangkan sebelum ini sudah banyak undangan sebagai juri saya terpaksa tolak berikutan hal logistik.

“Sebelum ini saya tidak berkesempatan untuk buat perkara menyeronokkan ini sebab saya di Los Angeles.

“Kalau nak terima undangan seperti ini kena duduk di Kuala Lumpur lebih kurang dua bulan.

“Apa pun saya berbesar hati dapat bersama rakan seperjuangan lain menggilap bakat berpotensi, mereka macam saya dahului yang mencari tapak menerusi media sosial,” katanya.

Baca juga: Nampak ringkas dan minimalis, tak sangka kek kahwin Sean Lee guna 5kg Strawberi import dari AS