Tular sebelum ini mengenai bekas vokalis kumpulan Exists, Mamat mengaku bersalah di mahkamah atas dua kesalahan iaitu memasukkan dadah ke dalam badan dan memiliki dadah pada 2019.
Melihat perkara tersebut, komposer yang juga anggota Exists, Ajai menolak dakwaan rakan sekumpulan Musa yang menyalah kehidupan di kampung jadi punca Mamat memilih dadah semula.
Jelas Ajai, ia adalah lebih kepada pendirian individu tersebut berbanding pengaruh rakan atau orang di sekeliling.
“Sebenarnya semua itu terletak pada hati Mamat sendiri. Apa yang terjadi bukan salah orang lain sebaliknya berlaku kerana hati sendiri yang masih ‘on off’ benda itu.
“Kalau ada orang bagi (bahan terlarang) dan hati kamu tak nak, tak jadi juga benda itu, jadi pucuk pangkal terpulang kepada kemahuannya,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Pada masa sama Ajai memahami keluhan Musa kerana mereka sekumpulan sudah banyak membantu Mamat agar tidak terjebak lagi.
“Saya tak akan salahkan orang di sekeliling Mamat. Cuma mungkin ketika Musa mengeluarkan kenyataan bahawa Mamat lebih baik keluar dari kampung, saya percaya dia tidak memaksudkannya.
“Mungkin dia begitu hampa dan kecewa sebab selama ini Exists banyak sokong Mamat tapi bila dia balik kampung sahaja dia akan kena tangkap.
“Sebab bila Mamat di Kuala Lumpur bersama kami, dia okey sahaja, mungkin itulah maksud Musa. Bukanlah dia salahkan orang kampung sebab itu saya cakap tadi, pucuk pangkalnya Mamat sendiri.
“Orang lain nasihat pun tak guna kalau kamu masih tak ada pendirian untuk berhenti,” ujarnya.
Baca juga: Gagal lunaskan pinjaman persahabatan, Jovian Mandagie diarah bayar RM10 juta kepada dua syarikat