Nelayan didenda RM200 gara-gara curi tiga biji durian, bila disoal rupanya teringin nak makan

Oleh KIM SYAZIE

Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM200 terhadap seorang nelayan selepa didapati bersalah mencuri tiga biji durian di sebuah kebun di Jalan Teluk Bahang, Balik Pulau baru-baru ini.

Roskhaizan Romli, 46, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Chia Huey Ting sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

Ketika disoal Huey Ting mengapa dia melakukan perbuatan itu, tertuduh menjawab dia ingin makan durian itu.

“Saya curi durian sebab nak makan, minta hukuman paling ringan puan,” katanya yang berpendapatan sekitar RM1,000 sebulan.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu mencuri tiga biji durian dianggar bernilai RM200 milik Neoh Aik Eng, 40, di lot 295 Jalan Teluk Bahang pada jam 12.15 tengah hari, 9 Julai lalu.

Majistret memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh hari jika gagal melunaskan denda.

Bagaimanapun tertuduh telah membayar denda itu.

Baca juga: Gagal lunaskan pinjaman persahabatan, Jovian Mandagie diarah bayar RM10 juta kepada dua syarikat