Luluh hati seorang bapa apabila melihat wajah anak perempuan yang ditatang bagai minyak yang penuh berubah menjadi bengkak akibat dipukul oleh suami.
Difahamkan, bapa berkenaan mendatangi rumah yang diduduki anaknya itu menaiki motosikal tua sejurus diberitahu mengenai kejadian menimpa wanita muda tersebut.
Sebaik tiba, suasana kediaman tersebut bertukar menjadi sayu apabila sang bapa bertindak mendekati dan mengusap wajah anaknya yang bengkak dengan teruk itu.
Mengundang sebak orang ramai, suasana yang menyayat hati itu sempat dirakamkan sebelum dimuat naik oleh seorang pengguna aplikasi TikTok di platform berkenaan.
“Patah hati terbesar seorang ayah ketika melihat anak perempuannya diperlakukan secara tidak baik oleh pasangannya,” tulis pemilik rakaman itu di ruangan kapsyen.
Menerusi rakaman lain pula, terlihat sang bapa membawa anaknya pulang ke rumah menaiki motosikal di tengah keramaian penduduk kampung yang bersimpati dengan nasib mereka.
Kejadian yang menjadi topik perbincangan hangat di laman media sosial itu berlaku di Kampung Kuhanga, Bintauna, Daerah Bolaang Mongondow Utara (Bolmut), Sulawesi Utara, Indonesia.
Sementara itu, suami mangsa iaitu seorang lelaki berusia 19 tahun dikenali sebagai MHL juga telah ditangkap pihak polis untuk siasatan lanjut berhubung kes Kekerasan Dalam Rumah Tangga (KDRT).
Pihak polis percaya bahawa kejadian itu bermotifkan cemburu kerana pelaku sempat bertanya siapakah cinta pertama isterinya sebelum bertindak mencederakan mangsa, lapor Kumparan.
Naik berang selepas mendengar jawapan isterinya, pelaku dikatakan telah memukul mangsa menggunakan tangan selain menendang dengan kakinya secara berulang kali.
Semoga kecederaan dialami mangsa pulih dengan segera dan harapnya dengan penangkapan pelaku, nasibnya juga terbela.
Baca juga: Pengantin menangis rakan baik berbangsa Cina datang majlis kahwin dan beri hadiah gelang emas