Tak sangka rumput liar boleh dibuat baja, tak makan kos tapi tanaman dijamin subur!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pemuda berjaya mencuri perhatian ramai selepas memuat naik perkongsian mengenai rumput liar yang boleh dibuat baja menerusi akaun Facebook miliknya.

Lain daripada yang lain, pemuda dikenali sebagai Syafiq Baharin itu berkata bahawa pembuatan baja rumput liar tersebut dipelajarinya melalui teknik dari Korea Selatan.

“Resepi buat baja cecair ini saya belajar daripada kaedah JADAM (kumpulan petani organik) asal Korea Selatan. Inilah antara baja utama yang paling kerap saya guna setakat ini.

“Hasil dia Alhamdulillah, sangat subur. Dengan izin Allah SWT. Kos dia hampir RM0! Hanya keluar belanja beli tong sahaja. Kalau tong sudah ada dirumah, kira tiada kos langsunglah,” katanya dalam satu hantaran.

Bahan-bahan dan cara menyediakan baja rumput liar:

  • Air hujan – Kalau tiada, air paip juga boleh digunakan tetapi perlu dibiarkan dahulu di dalam tempoh tiga ke empat hari. Namun disarankan guna air hujan.
  • Leaf mold – Ambil dua genggam lapisan tanah pertama berwarna gelap kehitaman. Biasa dijumpai di bawah daun kering gugur berdekatan pokok besar. Makin tebal daun, lagi bagus tanahnya.
  • Rumput liar – Kutiplah daripada kawasan halaman rumah. Sebarang jenis rumput liar boleh digunakan.

1. Ambil satu tong atau sebarang bekas penyimpanan yang memiliki penutup. Tong cat besar pun boleh. Tetapi kalau nak pakai lama, boleh guna tong besar warna biru.

2. Penuhkan dua pertiga tong dengan rumput liar tadi. Mampatkan ke bawah hingga menjadi padat.

3. Kemudian tambahkan air hujan hingga tong penuh atau menenggelamkan semua rumput liar di dalam bekas penyimpanan tersebut.

4. Masukkan dua genggam Leaf Mold ke dalam tong. Biarkan tanah tersebut larut di dalam air hujan.

5. Tutup tong dan biarkan terperam selama dua minggu. Selepas itu, bolehlah terus dipakai. Tetapi semakin lama ia diperam, lagi ‘kaw’ bajanya. Peram setahun juga tiada masalah!

Cara penggunaan baja rumput liar:

1. Ratio penggunaanya adalah 1:100. Maksudnya, letakkan 10 milimeter (mm) air baja dalam 1000 ml air biasa. Kemudan kacau sebati sebelum disiram kepada tanaman.

2. Boleh disiram kepada pelbagai jenis pokok setiap seminggu sekali. Gunakan teknik sembur juga boleh. Tetapi perlu tapis dahulu agar alat semburan tidak tersumbat.

3. Jika baja hampir habis, tambahkan lagi segenggam leaf mold ke dalam tong sama dan penuhkan semula dengan rumput liar dan air hujan. Selamat mencuba!

Baca juga: Takut kantoi dengan isteri sebab pergi Thailand, lelaki ditahan pegawai imigresen lepas gam pasport