Pelakon yang sedang berbadan dua, Datin Intan Najuwa menafikan sebarang khabar angin mendakwa dirinya sedang mengandungkan anak kembar.
Menerusi ruangan komen di akaun TikTok miliknya, Intan menepis khabar itu dengan mengatakan individu menyampai khabar sedemikian mungkin membuat berita palsu.
Komen tersebut ditinggalkan oleh pelakon berusia 27 tahun itu ketika membalas satu ucapan tahniah dari seorang peminat kerana Intan mengandungkan anak kembar.
“Bukan kembar. Yang kembar itu mungkin ada orang yang buat berita palsu. Tetapi doakanlah supaya kandungan saya dipermudahkan ya, Amin,” balas Intan kepada peminat tersebut.

Terdahulu, pelakon drama bersiri Kekasih Paksa Rela itu mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan kehamilan anak sulungnya setelah sekian lama menyimpan rahsia.
Khabar gembira tersebut dikongsikan oleh aktres berusia 27 tahun itu menerusi satu hantaran video memaparkan ‘baby bump’ di bahagian perutnya di platform TikTok.
Pelakon berbadan dua itu tampak anggun mengenakan satu persalinan gaun labuh berwarna kelabu dan terlihat begitu teruja ketika mendedahkan bahagian perutnya.
“We have been keeping a secret. We are adding a pumpkin to our patch! (Kami telah lama menyimpan satu rahsia. Kami akan menambah ahli baharu dalam keluarga!),” katanya dalam ruangan kapsyen.
Pemilik nama sebenar Intan Najuwa Abd Wahid itu bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci mengenai usia kandungan mahupun jantina anak sulungnya.
Berjaya mencuri perhatian ramai, rata-rata pengguna didapati membanjiri hantaran Intan itu dengan ucapan tahniah dan berkongsi rasa gembira atas khabar tersebut.
Untuk rekod, Intan dan pasangannya iaitu usahawan dikenali sebagai Datuk Ahmad Asraf sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz dalam satu majlis pada 18 Ogos, tahun lalu.
Majlis tersebut mencuri perhatian ramai kerana Asraf yang berusia 40 tahun itu memberikan mas kahwin berjumlah RM20,000 dan wang hantaran sebanyak RM222,000 kepada Intan.
Baca juga: Lama senyap, anak dedah pelawak veteran dah 2 kali kena serangan angin ahmar