Harith Iskander mengaku ‘sudah lama’ buat silap, isteri nafi dera jadi punca fail cerai

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon dan pelawak, Harith Iskander akhirnya tampil bersama isteri, Dr Jezamine Lim dalam satu sesi temu bual bagi menjawab spekulasi tentang penceraian mereka.

Dalam sesi tersebut, Harith meletakkan semua kesalahan di bahunya di atas kemelut rumah tangga mereka hingga membuatkan isteri memfailkan perceraian, bulan lalu.

Pelawak berusia 58 tahun itu bagaimanapun enggan menjelaskan secara terperinci mengenai kesalahannya kerana bimbang dengan penerimaan anak-anaknya kelak.

Menurutnya, keputusan untuk berpisah tidak dilakukan dalam tempoh yang singkat sebaliknya proses ke arah itu sudah mereka bincangkan sejak beberapa tahun lalu.

“Ini bukan keputusan yang dibuat dalam masa singkat. Orang di luar sana nampak perkara ini berlaku secara tiba-tiba selepas muncul gambar Jezamine memfailkan perceraian. Ia bukan tiba-tiba, tapi prosesnya sudah berjalan agak lama sebenarnya.

“Saya seorang lelaki bodoh yang sudah melakukan perkara tidak sepatutnya. Saya tak mahu memberikan alasan mengenai hal itu. Tetapi saya telah melakukan perkara bodoh yang ramai lelaki lakukan pada usia saya.

“Saya tak mahulah berkongsi lebih terperinci sebab kami mempunyai tiga orang anak yang masih muda dan mereka juga mungkin akan menonton temu bual ini suatu hari nanti,” katanya dalam satu program audio siar atau ‘podcast’.

Rakaman program yang dikendalikan oleh pengacara dan personaliti televisyen, Dapne Iking itu tular di media sosial selepas dimuat naik di saluran Youtube milik The Rakyat Post.

Mengulas lanjut, Harith dan isteri mengakui sudah cuba untuk mendapatkan bantuan kaunseling serta berkongsi dengan orang dipercayai sebelum penceraian difailkan.

Bagaimanapun setelah berfikir panjang, pasangan itu akhirnya membuat keputusan untuk berpisah secara baik kerana enggan merosakkan persahabatan yang terbina.

“Untuk mengambil keputusan berpisah ini agak lama dan bukan semalaman. Sudah bertahun-tahun saya membuat kesilapan namun isteri sudah menjalankan tugasnya dengan baik. Kami melalui tempoh yang menyedihkan.

“Kemudian kami pergi mendapatkan kaunseling perkahwinan serta bercakap dengan kawan-kawan. Sampailah saya sedar kami lebih sesuai menjadi rakan baik dan tidak mahu ia hancur disebabkan penceraian.” Ujarnya.

Sementara itu, Jezamine yang ikut serta di dalam sesi temu bual tersebut turut menafikan dakwaan dirinya didera Harith dan menuntut orang ramai tidak membuat spekulasi.

Baca juga: Pernah dilabel ‘ahli neraka’ lepas bercerai, Nadia Brian pilih tak baca komen di sosial media