Tak sampai 24 jam Aiman Aufa minta tolong ‘report’, pemilik akaun palsu tukar mod privasi

Oleh WAN SITI AMINAH

Belakangan ini, nama Pegawai Tentera Darat Malaysia iaitu Muhammad Aiman Aufa terus menjadi topik perbincangan hangat susulan tularnya surat layang yang pernah ditulisnya tujuh tahun lalu berhubung kes Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Akaun Instagram milik saksi pendakwaan kes itu turut menjadi tumpuan orang ramai yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan terima kasih dan kiriman doa buat Aiman Aufa kerana sudah mencuba untuk menyelamatkan nyawa Zulfarhan.

Terbaharu, Aiman Aufa menerusi satu hantaran dimuat naik di ‘Instastory’ miliknya pada malam Khamis tampil memberikan amaran kepada orang ramai berhubung wujudnya akaun palsu yang menggunakan namanya di platform media sosial TikTok.

Menurutnya, sebarang kenyataan dan hantaran yang dikongsikan di akaun TikTok berkenaan bukanlah daripadanya selain turut meminta bantuan orang ramai untuk sama-sama melaporkan perkara itu kepada pihak platform media sosial terbabit.

Bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu turut menasihati pemilik akaun palsu terbabit untuk berhenti mengambil kesempatan terutamanya di atas isu semasa yang sedang hangat diperkatakan demi kepentingan peribadi.

“Untuk makluman, saya tiada akaun TikTok. Hanya akaun Facebook dan Instagram sahaja. Sebarang kenyataan dan hantaran dibuat akaun TikTok ini adalah bukan dari saya.

“Mohon kerjasama semua untuk melaporkan akaun TikTok yang telah didaftarkan atas nama saya ini. Saya khuatir sekiranya akan timbul isu ataupun salah penyebaran maklumat.

“Juga kepada mereka yang mencipta akaun palsu ini, mohon jangan menunggang isu semasa di atas kepentingan peribadi. Terima kasih,” kata Muhammad Aiman Aufa dalam hantaran di Instastory itu.

Selepas beberapa jam hantaran tersebut dibuat, tinjauan mendapati pemilik akaun palsu berkenaan masih belum memadam profil TikTok @aufa_aimann itu namun hanya menetapkannya kepada mod privasi.

Terdahulu, akaun TikTok berkenaan telah berjaya mencuri perhatian ramai dengan menggunakan nama Aiman Aufa sehingga hantaran yang dibuat berhasil meraih puluhan ribuan tontonan dan tanda suka daripada para pengguna platform.

Ramai pengguna TikTok kemudian membanjiri ruangan komen dengan ucapan penghargaan dan terima kasih berikutan menyangka akaun tersebut adalah milik penulis surat layang kes Allahyarham Zulfarhan itu.

Baca juga: Instagram penulis surat layang kes Zulfarhan diserbu, dihujani doa dan ucapan terima kasih