Pelakon yang sedang berbadan dua, Intan Najuwa menafikan dakwaan menuduhnya gemar menghabiskan duit suami iaitu ahli perniagaan, Datuk Ahmad Azraf Azman.
Difahamkan, tuduhan tersebut dilemparkan oleh netizen selepas Intan mendedahkan rancangannya untuk mencari barangan keperluan bayinya di London dan Sepanyol.
Menerusi satu hantaran di Instastory, Intan menegaskan bahawa dirinya tidak perlu menggunakan duit suami untuk membeli-belah mahupun melancong ke luar negara.
Sebaliknya, pemilik nama sebenar Intan Najuwa Abd Wahid itu boleh menanggung perbelanjaan dirinya menggunakan wang dan pendapatan yang diperolehnya sendiri.
“Kepada sesiapa yang tertanya-tanya dan menyangka bahawa saya membelanjakan duit suami, tolong fikir semula. Saya ada wang dan pendapatan sendiri. Tak perlukan dia (suami) untuk tanggung saya.
“Ke mana sahaja saya pergi, saya tidak menggunakan wang suami sama ada untuk melancong atau membeli belah. Harap maklum, saya masih mampu berdiri di atas kaki sendiri walaupun sudah berkahwin.
“Tolong jangan beranggapan bahawa saya sentiasa menggunakan duit suami untuk segala-galanya. Saya menjaga hal kewangan sendiri. Saya haraplah kenyataan ini menjelaskan sebarang salah faham,” katanya.
Terdahulu, pelakon berusia 27 tahun itu berkongsi keterujaannya untuk terbang ke luar negara pada September ini bagi membeli keperluan bayi yang bakal dilahirkan.
Malah sebelum berangkat, Intan sudah mendapat idea menarik berdasarkan tinjauan yang dilakukannya menerusi aplikasi Pinterest berkenaan barangan keperluan bayi.
“Saya menyediakan keperluan bayi sedikit demi sedikit kerana saya akan berbelanja di London tidak lama lagi. Malah, minggu hadapan saya juga akan ke Sepanyol untuk membeli-belah barangan bayi,” kongsinya di platform sama.
Baca juga: “Tu ‘filter’ dekat TikTok” – Enot sangkal dakwaan bedah muka, turun berat antara asbab nampak lain