Sepasang suami isteri yang baru sahaja berkahwin menjadi bualan di internet selepas mengenakan bayaran hampir RM1,500 kepada setiap tetamu yang menghadiri majlis mereka.
Menurut AFP, pasangan dari Amerika Syarikat itu menetapkan bayaran sedemikian bertujuan menjimatkan wang.
Menerusi temu bual dengan NBC, pasangan pengantin itu, Nova dan Reemo Style menjelaskan sebab mereka mengenakan bayaran kepada tetamu.
Pasangan itu berpendapat kos mahal untuk mengadakan majlis perkahwinan berkenaan.
Katanya, jika orang sanggup mengeluarkan wang untuk melihat bintang pop kegemaran mereka, maka tiada masalah melakukan perkara sama untuk insan dikenali dan disayangi.
“Orang ramai memilih untuk pergi ke konsert Beyonce kerana mereka tahu bahawa mereka akan merasai pengalaman.
“Mari kita berikan tekanan kepada tetamu dan jual tiket untuk majlis perkahwinan,” kata Nova seperti dilapor AFP.
Menurut Nova, ada tetamu yang merungut dan bercakap mengenai tindakan mereka.
Difahamkan, caj AS$333 itu bagi membayar tempat duduk di bas dua tingkat dan lawatan 12 jam ke New York City.
Caj dikenakan pasangan itu membantu mereka menjimatkan perbelanjaan sehingga lebih AS$70,000 (kira-kira RM311,492).
Menurut The Knot, kos perbelanjaan perkahwinan yang semakin meningkat akan menyebabkan ramai pasangan menjadi kreatif hingga mengenakan bayaran kepada tetamu.
Data menunjukkan purata kos perkahwinan di AS pada 2023 adalah AS$35,000 (kira-kira RM155,746) iaitu meningkat AS$5,000 (kira-kira RM22,249) daripada kos purata pada peringkat nasional pada tahun sebelumnya, sebahagiannya disebabkan oleh inflasi
Baca juga: Masih percaya paracetamol boleh rosakkan buah pinggang? Baca penjelasan pengasas klinik ini