Baru-baru ini tular satu rakaman di platform TikTok memaparkan tindakan pantas seorang penghantar makanan atau ‘rider’ menyelamatkan penghuni rumah daripada kebakaran.
Dalam rakaman tersebut, rider berkenaan dilihat menunggang motosikal miliknya di lorong kawasan perumahan sebelum menyedari terdapat api sedang marak di salah sebuah kediaman.
Rider berkenaan kemudian memutuskan untuk berpatah balik dan memaklumkan perkara tersebut kepada jiran sebelah rumah yang sedang mengalami kebakaran tersebut.
Tindakan pantas rider tersebut bukan sahaja menyelamatkan nyawa penghuni rumah yang merupakan dua orang warga emas malah jiran-jiran tinggal berhampiran dengan kediaman berkenaan.
Rakaman tersebut dikongsikan di akaun TikTok milik menantu kepada pemilik rumah yang mengalami kebakaran supaya dapat menemui penghantar makanan berkenaan untuk mengucapkan terima kasih.
Hal ini berikutan rider berkenaan juga dikatakan sanggup turun daripada motornya untuk membantu membawa bapa mertuanya keluar melalui tembok sebelah rumah.
Pemilik akaun akhirnya berjaya menemui insan yang menyelamatkan ibu dan bapa mentuanya susulan perkongsiannya tular di media sosial hingga mencecah 2.2 juta tontonan ketika artikel ini ditulis.
“MasyaAllah, TabarakAllah rakyat Malaysia. Terima kasih yang sudi memberi tanda suka dan kongsikan semula hantaran saya. Alhamdullilah, pencarian adik Food Panda itu berhasil. Kami dapat menghubungi beliau semalam.
“Terima kasih kepada sahabat Azimi (rider) yang memaklumkan butiran identitinya. InsyaAllah kami akan aturkan pertemuan dengan adik Azimi apabila ada kelapangan,” katanya dalam perkongsian di laman TikTok.
Dalam hantaran sama, pemilik akaun turut memberitahu bahawa kebakaran di rumah mentuanya itu berpunca daripada kereta milik warga emas terbabit yang terbakar secara tiba-tiba tanpa dihidupkan enjinnya.
Ketika rider terbabit lalu di hadapan kediaman berkenaan, kereta milik mentuanya sudah mula berasap dan terbakar malah berlaku sedikit letupan di beranda rumah sehingga menyebabkan penghantar makanan itu berpatah balik.
Pemilik akaun turut berterima kasih kepada pihak lain yang ikut serta membantu selain memaklumkan bahawa keadaan ibu dan bapa mentuanya sihat dan baik-baik sahaja selepas kejadian mencemaskan itu berlaku.
“Terima kasih yang tak terhingga juga untuk pihak bomba yang pantas memadamkan api dari terus merebak ke dalam rumah. Terima kasih orang-orang baik yang Allah hantar untuk membantu.
“Termasuk pemilik kereta berwarna merah (dalam rakaman), jiran-jiran dan saudara berbaju putih berseluar biru. Maaf kalau ada orang yang tak tertulis di sini.” Ujar pemilik akaun berkenaan.
Baca juga: Lelaki dedah kebaikan pemilik rumah, 14 tahun bayaran sewa kekal RM210 tak pernah naik