Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan baru-baru ini terbukti berhasil mengukuhkan keterjaminan bekalan gas domestik Malaysia melalui perluasan peranan Petronas dalam sektor tenaga di negara itu.
Pencapaian itu bukan sahaja membuka akses untuk Petronas kepada antara rizab gas terbesar dunia sebaliknya turut memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap tenaga global hasil hubungan hala dengan Turkmenistan.
Menerusi perkongsian di platform Facebook, Anwar memaklumkan perkembangan itu sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan Malaysia dan rekod cemerlang Petronas yang telah bertapak di Turkmenistan selama tiga dekad.
“Lawatan ini turut menyaksikan pemeteraian pelbagai dokumen kerjasama dalam bidang pendidikan, latihan diplomatik, penerbangan, sains dan pembangunan modal insan.
“Saya yakin kesepakatan yang dicapai akan mengangkat hubungan Malaysia-Turkmenistan ke tahap yang lebih kukuh demi kemakmuran rakyat dan kepentingan negara,” kata Anwar dalam perkongsian itu.
Berikut kami rangkumkan laporan ringkas berhubung kunjungan rasmi tersebut berdasarkan perkongsian dimuat naik Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menerusi hantaran sama di akaun Facebook miliknya.
- Kejayaan Dicapai Hasil Rundingan sejak 2024
Menurut Anwar, pencapaian ini bukanlah satu kebetulan sebaliknya hasil daripada rundingan beliau bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov sejak Disember tahun lalu ketika kunjungan rasmi pemimpin itu ke Malaysia.
Anwar ketika itu menjelaskan kepentingan memberi peranan lebih besar kepada Petronas dalam pembangunan industri minyak dan gas di Turkmenistan dan jaminan awal diberikan ketika itu kini diterjemahkan melalui perjanjian dimetrai.
- Faktor Tukmenistan Memilih Petronas
Pemimpin nombor satu negara itu menekankan bahawa kredibiliti, kepakaran teknikal dan pengalaman syarikat petroleum Malaysia dalam mengurus projek tenaga berskala besar sejak 30 tahun di Turkmenistan menjadi penentu utama.
Hal ini kerana Petronas membawa pelaburan bersama pemindahan teknologi, latihan dan pembangunan modal insan dengan disokong penglibatan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
- Peroleh Akses Kepada Rizab Gas Terbesar Dunia
Kejayaan ini disifatkan Anwar sebagai pencapaian luar biasa kerana bukan sahaja membuka akses Petronas di salah satu negara dengan rizab gas terbesar dunia malah turut menjamin kelangsungan bekalan gas dan tenaga Malaysia.
Pencapaian ini sekali sekali gus mengurangkan kebimbangan keperluan tenaga negara dan membantu pertumbuhan ekonomi terbesar dengan potensi menjana pendapatan yang signifikan untuk Malaysia dalam jangka masa panjang.
Susulan daripada pencapaian besar ini, misi Diplomasi Madani tetap diteruskan oleh pentadbiran kerajaan dipimpin Anwar demi menjamin kesejahteraan rakyat dalam mendepani krisis global pada masa akan datang.
Baca juga: PM Anwar zahir takziah, kirim doa buat Ahli Parlimen Pas dan isteri terlibat kemalangan