Ibu mengandung perlu cukup tidur kalau nak anak masuk universiti umur 12 tahun – PHM 

Oleh WAN SITI AMINAH

Kejayaan seorang kanak-kanak yang diterima masuk ke Universiti Malaya pada usia cukup muda iaitu 12 tahun masih menjadi perbincangan hangat di media sosial.

Masyarakat terutamanya ibu bapa tertanya-tanya mengenai kaedah didikan penjaga kanak-kanak terbabit termasuk amalan ketika hamil hingga melahirkan anak sepintar itu.

Sehubungan dengan itu, Public Heath Malaysia (PHM) menerusi hantaran di platform Facebook tampil berkongsi panduan kepada ibu bapa untuk meransang kecerdasan anak-anak.

Menurut PHM, penjaga khususnya ibu perlu ‘mendidik’ anak ketika berada di dalam fasa kehamilan lagi dengan mengekalkan tempoh tidur yang ideal bagi merangsang perkembangan mereka

“Data menunjukkan bahawa ibu yang cukup tidur akan mempunyai anak dengan perkembangan yang lebih baik, terutama dalam kemahiran sosial dan percakapan.

“Ibu hamil disarankan menjaga corak tidur dengan tidur sekurang-kurangnya 7 jam setiap malam. Tidur yang mencukupi bukan hanya penting untuk kesihatan ibu, tetapi juga untuk perkembangan optimum anak dalam kandungan,” kongsi PHM.

Dalam hantaran tersebut, PHM turut mendedahkan hasil sebuah kajian saintifik yang mendapati bahawa kekurangan tidur dalam kalangan ibu akan melambatkan proses perkembangan anak.

Lebih mengejutkan, PHM memaklumkan bahawa kajian yang dilakukan dengan melibatkan lebih dari 7,000 ibu dan anak itu menunjukkan hasil bahawa perkembangan anak lelaki akan lebih terkesan.

“Nak anak pandai dan masuk universiti masa umur 12 tahun. Tetapi tidur pada jam 12 tengah malan dan bangun pukul 6 pagi. Ibu hamil, tahukah anda kurang tidur masa mengandung boleh menyebabkan anak lambat bercakap?

“Kajian terbaharu diterbitkan dalam Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism mendapati ibu yang tidur kurang dari 7 jam setiap malam berisiko tinggi melahirkan anak yang lambat berkembang dari segi sosial, emosi, dan percakapan.

“Ibu mengandung biasanya susah nak tidur kerana perubahan hormon, kerap ke tandas, atau rasa tidak selesa. Tetapi kajian ini memberi amaran tidur kurang dari 7 jam boleh meningkatkan risiko masalah perkembangan pada anak,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, ibu hamil yang mengalami Short Sleep Duration (SSD) juga berisiko mengalami diabetes sewaktu mengandung seterusnya menjejaskan perkembangan otak anak dalam kandungan.

Baca juga: Kanak-kanak Permata Pintar cipta sejarah, masuk Universiti Malaya di usia 12 tahun