Siapa yang tidak bangga apabila melihat Jalur Gemilang akhirnya berkibar megah di pentas Grand Prix (GP) Czech selepas pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli memenangi pelumbaan Moto3 di Litar Brno, semalam.
Kemenangan sulung Hakim Danish di musim ini menjadi lebih istimewa kerana turut menamatkan kemarau 10 tahun untuk Malaysia berdiri di podium tertinggi Moto3 sejak kali terakhir dicapai Khairul Idham Pawi pada musim 2016.
Pencapaian pelumba berusia 18 tahun itu turut diraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ucapan tahniah dan menyifatkan kejuaraan tersebut sebagai prestasi yang cukup membanggakan buat negara.
Menerusi hantaran dimuat naik di platform X melalui akaun miliknya, pemimpin nombor satu negara itu juga berharap agar Hakim Danish terus melakarkan lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
“Tahniah Hakim Danish! Langkah masih panjang, terus cipta lebih banyak kejayaan,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan itu dalam hantaran ulang ciap rakaman memaparkan kemenangan pelumba terbabit.
Terdahulu, Hakim Danish yang mulanya meraih petak kedua terpaksa bermula dari petak ke-14 apabila dikenakan penalti kerana memperlahankan jenteranya di salah satu sektor dalam sesi kelayakan kedua.
Hakim Danish bagaimanapun tetap semangat malah menunjukkan keyakinan di sepanjang perlumbaan dengan memintas semua pencabar untuk tiba di garisan penamat pada kedudukan pertama dengan catatan masa 33 minit 34.26 saat.
Pelumba berusia 18 tahun itu membuktikan ketenangan dan kematangannya apabila berjaya memintas seorang demi seorang pencabar sebelum melintasi garisan penamat di kedudukan pertama dengan catatan masa 33 minit 34.26 saat.
Sekadar info, kali terakhir Malaysia menaiki podium dengan memenangi saingan Moto3 adalah pada musim 2016 menerusi Khairul Idham Pawi pada GP Argentina dan GP Jerman.
Baca juga: Kenapa Anwar bawa nama Sarawak hingga ke Rusia dan Jepun? Ini jawapannya