Tindakan mencurigakan sepasang remaja yang dikatakan kerap dilihat keluar masuk sebuah surau pada lewat malam akhirnya membawa kepada penahanan mereka dalam satu kejadian di Kampung Tok Rasul, Kilang Lama, awal pagi tadi.
Memetik laporan Kosmo! Online, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ditahan selepas ditemui berada di tandas surau tersebut kira-kira pukul 1.30 pagi.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, pasangan terbabit ditahan selepas kegiatan mereka menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk setempat yang sering melihat mereka berada di kawasan surau pada waktu awal pagi.
Menurut beliau, beberapa peniaga yang berniaga berhampiran lokasi memaklumkan bahawa mereka telah beberapa kali terserempak dengan pasangan berkenaan memasuki kawasan surau pada waktu yang dianggap luar kebiasaan.
“Penduduk yang membuat pemeriksaan mendapati pasangan itu berada di dalam tandas surau dalam keadaan separuh bogel sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada pengerusi surau dan pihak penguat kuasa agama,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati remaja lelaki tersebut berasal dari Sungai Kob dan bekerja sebagai peniaga nasi lemak serta mengaku masih bujang.
“Remaja perempuan pula berusia 15 tahun dan berasal dari Changlun. Dia sudah tidak bersekolah dan kini tinggal bersama ibu saudaranya di Sungai Ular. Kedua-duanya mengaku bukan suami isteri dan tidak mempunyai hubungan mahram,” katanya.
Kes berkenaan kini dalam tindakan lanjut pihak berkuasa agama untuk siasatan mengikut peruntukan yang berkaitan.
Baca juga: Tamat penantian 10 tahun! PM Anwar ucap tahniah kepada juara GP Czech Danish Hakim