Sejak bergelar duda, pelakon popular iaitu Fattah Amin nampaknya semakin ‘laris’ dengan menerima pelbagai bentuk tawaran termasuk lakonan dan kempen promosi bersama produk jenama tempatan.
Pelakon berkenaan turut mendapat sokongan yang padu daripada peminat termasuklah kaum Adam supaya tetap bersemangat untuk meneruskan kerjayanya di dalam bidang seni dan sebagainya.
Difahamkan, Fattah Amin juga akan melakukan satu sesi fotografi bersama penyanyi popular iaitu Adira Suhaimi tidak lama lagi namun butiran terperinci mengenainya belum didedahkan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Adira dalam satu sesi siaran langsung di akaun media sosial miliknya bersama bekas suami, Datuk Red yang mana rakamannya dimuat naik oleh pengguna platform TikTok.
Menerusi rakaman itu, Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu secara berseloroh meluahkan rasa cemburunya terhadap Fattah Amin dengan menghalang Adira menyertai sesi fotografi tersebut.
Ahli perniagaan berusia 47 tahun itu turut memberikan cadangan kepada bekas isterinya untuk melakukan sesi fotografi berkenaan pada hari yang berbeza dengan Fattah Amin.
Hasil penggambaran tersebut kemudian disunting untuk terlihat seakan-akan diambil bersama malah Datuk Red juga bersedia menawarkan khidmatnya bagi menyunting gambar berkenaan.
“Zaman sekarang kan sudah canggih. Kau ambil gambar hari Selasa, Fattah ambil hari Rabu. Kemudian gambar itu boleh digabungkan. Aku pun boleh buatlah (suntingkan). Aku sudah pandai ‘edit’. Kau tak payah nak jumpa dia (Fattah Amin) eh, sudah kenapa?
“Kau nak bergambar dengan gaya macam mana pun boleh. Tetapi tak payah jumpa dia. Aku boleh edit, sudah pakar sekarang. Kau cakaplah macam itu dengan pihak pengurusan. Tak perlu pun jumpa dia,” seloroh Datuk Red dalam rakaman tersebut.
Tinjuan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna terhibur dengan gelagat pasangan bekas suami isteri itu malah orang ramai turut mendoakan mereka berdua agar dapat kembali bersatu dalam ikatan sah suatu hari nanti.
Baca juga: “Semua bil i tak pernah sentuh”, Neelofa dedah sikap suaminya PU Haris sepanjang berkahwin