Ini respon Vivy Yusof selepas digesa jelaskan isu kerugian pelaburan Khazanah dan PNB

Oleh WAN SITI AMINAH

Nama pengasas bersama Fashion Valet iaitu usahawan, Vivy Yusof menjadi topik perbincangan hangat baru-baru ini susulan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dilaporkan mengalami kerugian selepas melabur dalam syarikatnya.

Hal ini berikutan ahli perniagaan yang juga pempengaruh media sosial itu digesa oleh masyarakat untuk membuat penjelasan berhubung isu kerugian sebanyak RM43.9 juta direkodkan Khazanah dan PNB melibatkan pelaburan dana awam tersebut.

Difahamkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil daripada penjualan pegangan saham minoriti dalam syarikat Fashion Valet (Fashion Valet Sdn Bhd) iaitu sebuah platform e-dagang fesyen kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah tersebut diperoleh berbanding pelaburan bernilai RM47 juta yang dilakukan Khazanah dan PNB pada 2018 dengan masing-masing berjumlah RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam Fashion Valet.

Tidak hanya berdiam diri, Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof tampil memuat naik gambar memaparkan keadaan terkininya yang terlantar di katil sebuah hospital dipercayai untuk menerima rawatan.

Vivy menerusi hantaran dikongsikannya di Instagram Story pada Rabu itu menjelaskan bahawa pihaknya bakal tampil ke hadapan dalam masa terdekat dan berpesan kepada orang ramai untuk tidak terus menyebarkan fitnah.

Ahli perniagaan berusia 36 tahun itu bagaimanapun tidak mendedahkan dengan lebih lanjut berhubung masalah kesihatan yang dihadapinya namun berjanji akan turut maklumkannya dalam masa terdekat.

“Banyak sangat perkara yang saya ingin sampaikan tetapi pada masa yang sesuai, Insya-Allah. Buat masa ini, saya biarkan apa yang mereka mahu katakan. Cuma berhati-hati dengan fitnah yang awak sebarkan tentang orang lain.

“Buat masa ini, saya sedang ‘berjuang’ dengan (penyakit) ini. Saya akan kongsikan tentang perkara ini juga tidak lama lagi.” Ujar Vivy dengan ringkas menerusi hantaran dimuat naik di akaun Instagram miliknya yang memiliki 2 juta pengikut itu.

Terdahulu, perniagaan Fashion Valet dilaporkan terjejas teruk berikutan masalah pandemik COVID-19 dan pasaran pengumpulan dana yang mencabar hingga memerlukan modal baharu yang besar untuk meneruskan operasi. 

Baca juga: Rakyat Malaysia diumum penyumbang terbesar ekonomi pelancongan Thailand