Kerajaan dicadang untuk membuat sekatan ke atas peminjam yang liat melunaskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari membeli hartanah, kereta atau melancong ke luar negara.
Langkah itu dianggap penting untuk dikuatkuasakan selepas PTPTN mahu mempertimbang untuk menghentikan pembiayaan kepada kursus universiti yang merekodkan kadar bayaran balik yang rendah.
Selain itu kerajaan dicadang untuk memperkenalkan sistem pembayaran balik yang lebih fleksibel dan praktikal sama seperti Potongan Cukai Bulanan (PCB) terhadap peminjam PTPTN.
“Kerajaan boleh juga mempertimbangkan untuk memperkenalkan sekatan ke atas aktiviti tertentu seperti membeli hartanah, kereta atau melancong ke luar negara bagi peminjam PTPTN yang gagal membuat pembayaran balik.
“Langkah-langkah ini mesti dikuatkuasakan dengan ketat untuk memastikan ia berkesan,” kata Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung dalam satu kenyataan.
Yee Fung berkata, cadangan untuk menghentikan pembiayaan PTPTN kepada kursus universiti yang merekodkan kadar bayaran balik yang rendah tidak akan menggalakkan bayaran balik dalam kalangan peminjam.
Kata beliau, menafikan pinjaman PTPTN berdasarkan kegagalan pembayaran balik orang lain bermaksud menghukum pelajar yang tidak mempunyai kawalan terhadap keadaan itu.