Berkuat kuasa 1 Januari, Musa Aman junjung kasih kepada Agong atas perlantikan Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11

Oleh WAN SITI AMINAH

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan baginda mengurniakan Surat Cara Pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 dalam istiadat di Istana Negara, hari ini.

Menerusi satu hantaran di platform Facebook, Tun Musa turut menzahirkan kesyukuran di atas pelantikan tersebut selain mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Difahamkan, pemimpin berusia 73 tahun terbabit dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah dalam tempoh empat tahun berkuat kuasa 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.

“Alhamdulillah, pagi ini saya menerima surat cara pelantikan sebagai Yang di- Pertua Negeri Sabah ke-11 daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong di Singgahsana Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur.

“Menjunjung Kasih Tuanku. Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat, Ketua Menteri Sabah,” kata pemimpin berkenaan dalam hantaran tersebut.

Musa yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu dilantik untuk menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember ini.

Penamatan perkhidmatan tersebut sekali gus menjadikan Tun Juhar sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri paling lama berkhidmat setakat ini selepas menyandang jawatan berkenaan selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.

Sementara itu, Musa turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun dalam istiadat berkenaan.

Untuk rekod, Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-14 pada 27 Mac 2003 lalu dan menjadi pemimpin yang paling lama memegang jawatan tersebut selepas berkhidmat selama lima penggal sehingga 12 Mei 2018.

Selain berkhidmat sebagai ADUN Sungai Sibuga selama enam penggal (1994-2020), Musa juga pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuklah Menteri Kewangan Sabah, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, dan Konsul Kehormat Malaysia di Bangladesh.

Baca juga: Dah besar rupanya, kemunculan putera sulung Tengku Mahkota Kelantan jadi bualan