“Tidak disarankan untuk menginap di sini. Menyesal, rasa tertipu!,” itulah kekesalan seorang wanita selepas melihat keadaan bilik di sebuah resort yang ditempahnya ketika berkunjung ke Mersing, Johor bersama keluarga.
Menurut wanita itu, wang sebanyak RM719.30 dikeluarkan olehnya untuk menempah dua bilik di resort berkenaan namun merasa kecewa apabila melihat keadaan sebenar pusat peranginan tersebut yang tampak ‘menyeramkan’.
Kekecewaan wanita itu diluahkan menerusi satu hantaran video dimuat naik di akaun TikTok miliknya beberapa hari lalu yang turut memaparkan persekitaran resort dan ruangan dalaman serta luaran bilik tempahannya.
“Saya bayar RM719.30 untuk satu bilik standard dan ‘family room’ selama dua hari, satu malam. Keluar sahaja kereta, kena pijak lumpur. Bayangkan kami angkut bag dengan kasut penuh lumpur. Jangan bagi alasan musim hujan.
“Pihak resort patut sediakan tempat letak kereta elok-elok. Luar nampak macam blok 404 (filem seram). Tandas kotor dan berlumut. Soket elektrik nak tercabut. Berapa lamalah tak bersihkan. Bilik bersawang, dengan serangga lagi.
“Cadar berlubang. Tengok penghawa dinginnya. Zaman bila, disumbat dengan kain sebab bocor. Peti sejuk kotor, karat dan busuk. Televisyen juga zaman tok kaduk, tak boleh pakai,” luahnya dalam perkongsian itu.
Lebih memburukkan keadaan, pintu bilik juga pecah dan berlubang membuatkan wanita itu merasa tidak selamat memandangkan mereka yang berada di luar boleh sahaja melihat persekitaran di dalamnya.
Wanita itu bagaimanapun bersyukur kerana diberi rezeki lebih dan berkongsi wang dengan adik-beradiknya untuk menempah tempat penginapan lain namun tetap merasa bimbang dengan nasib pelanggan sepertinya.
“Pintu bahagian bawah pecah, hanya ditutup dengan zink sahaja. Siap dapat pakej lubang, boleh mengendap orang mandi. Perabot usang, sudah terkopak. Tolonglah jangan aniaya pelanggan macam ini. Saya bayar RM719 tahu tak.
“Alhamdulillah kami ada rezeki lebih, kongsi adik-beradik untuk cari penginapan yang lain. Saya tak sanggup biar keluarga tidur di situ. Kasihan dekat orang nak gembira di hari cuti. Tetapi akhirnya dapat bilik macam ini.
“Terpaksa hadap jugalah sebab sudah buat pembayaran. Kita bukan nak mewah-mewah pun. Cukup cantik, selesa, bersih, selamat dan padan dengan harga,” ujarnya lagi dalam hantaran yang sama.
Wanita itu juga berharap agar pusat penginapan tersebut memperbaiki, membaik pulih dan menaik taraf dahulu resort sehingga menepati ‘standard’ sebelum dibuka untuk tempahan supaya tidak menganiaya pelanggan.
Baca juga: Tak pernah malu kerja sebagai pekebun sawit, anak muda ini mampu raih RM7,000 sebulan