Terkenal menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, pelawak dan pelakon Sathiya mengakui kurangnya pelapis kaum India dalam industri komedi.
Pelakon berusia 60 tahun itu sudah mula aktif dalam industri seni sejak tahun 1985 menerusi program komedi berbahasa Tamil berjudul Kalapabam.
Menurut Berita Harian, Sathiya berharap ada ramai pelapis kaum India yang tidak malu untuk menunjukkan bakat sebagai pelawak.
“Ada yang mengaku boleh berlakon, tapi bila berada di lokasi penggambaran atau tengah orang ramai, satu babak kadang-kadang sampai 10 ‘take’. kemudian diam-diam lari sebab takut.
“Macam saya bukan jenis penakut dan tak malu kerana dulu saya pemandu bas. Kalau tiada, siapa nak gantikan saya. Jadi, kena carilah.
“Industri perlukan mereka, tapi masih belum dapat kerana ramai yang malu. Saya boleh bertutur bahasa Melayu dan Tamil, jadi ini kelebihan saya,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Meskipun banyak penerbit mencari pelapis baru, Sathiya teruja masih diberi peluang bekerja meskipun watak adalah terhad.
“Saya ada terima watak dalam drama Tamil yang baru ditayangkan di TV2 sempena Hari Krismas, baru-baru ini. Saya hanya ambil watak orang tua yang berikan nasihat kepada mat motor dan kebanyakannya duduk sahaja.
“Penerbit mahu pelakon India generasi baharu, tapi tiada. Dulu ada saya, Accapan dan Rama (R Ramasundran).
“Tapi, mereka sudah tiada dan hanya tinggal saya seorang. Janji saya boleh bercakap walau berlakon duduk.
“Saya bersyukur bekerja dengan ramai pengarah yang baik. Mereka faham keadaan saya. Saya pula seorang ‘happy go lucky’. Jadi, semua orang senang dengan saya,” tambahnya.
Baca juga: Aaisyah sedih tengok ibu dikecam orang ramai, Che Ta dedah sudah langsai hutang MARA