Penyanyi sensasi, Baby Shima kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas mendedahkan ugutan bunuh diterimanya menerusi sebuah platform media sosial iaitu Facebook.
Baby Shima memaklumkan bahawa kata-kata berunsur ugutan tersebut ditulis di ruangan komen Facebook oleh seorang individu tidak dikenali dipercayai pemuda berasal dari Sarawak.
Difahamkan, komen tersebut adalah luahan kemarahan individu berkenaan yang kelihatan seperti kurang senang dengan kedatangan pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli itu ke negeri kelahirannya.
“Lagi kamu masuk Sarawak, musuh kamu sekarang sudah sasarkan kamu! Jangan pulang ke Semenanjung sebagai mayat sahaja, faham! Jaga diri, Baby Shima,” tulis individu berkenaan.
Pelantun suara lagu Pura-Pura Bujang itu bagaimanapun tidak berdiam diri dan meminta kerjasama daripada pihak berkuasa negeri tersebut untuk mengenal pasti individu berkenaan.
Pendedahan tersebut dibuat oleh Baby Shima menerusi satu hantaran tular di platform Instagram bersama foto seorang individu yang dipercayai menulis kata-kata berbaur ugutan itu.
“Saya baru menerima satu ugutan bunuh dari orang sarawak. Mohon kerjasama polis Sarawak dan Polis Diraja Malaysia,” tulis Baby Shima dalam satu hantaran di akaun Instagram miliknya, semalam.
Dalam hantaran berikutnya, penyanyi berkenaan memuat naik gambar di sebuah balai polis di Sibu dipercayai untuk membuat laporan berhubung kejadian itu sekitar pukul 2 pagi, hari yang sama.
Baby Shima juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tionf King Sing di atas keprihatinan pemimpin berkenaan kerana turut hadir ke balai polis.
Tinjauan kami mendapati rata-rata pengguna membanjiri ruangan komen perkongsian itu dengan kiriman doa agar keselamatan dan kesejahteraan penyanyi terbabit sentiasa terjaga.
Ramai juga pengguna berharap individu yang membuat ugutan itu segera dikenakan tindakan undang-undang selain memuji tindakan pantas Shima membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Baca juga: Lama menyepikan diri, bekas wartawan ‘update’ gambar terbaru Anita Sarawak